Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas muncul dengan sekian banyak puisi, Pyanhabib mendapat penghormatan lebih tinggi apabila karyanya ditafsir 31 pengkarya seni terpilih dan dipaparkan di sebuah galeri di White Box Publika.

Ketika pelancaran pameran itu 27 Mei lalu, kira-kira 300 orang peminat seni membanjiri galeri berkenaan untuk melihat hasil kolaborasi antara puisi dan gambar yang disatukan dalam pameran Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi PyanHabib.

Selain Pyanhabib, banyak nama besar lain dalam seni turut hadir, seperti Datuk M Nasir, pelakon Imuda dan Hasnul Rahmat, pembikin filem indie, Awang Ketut dan Rahmat Haron.

Acara dimulakan dengan deklamasi puisi Pyanhabib oleh Nik Jidan dan Rahmat Haron.

Imuda sempat menyanyikan lagu ciptaan M Nasir, Sesat Di Kuala Lumpur yang turut termuat dalam filem Kembara Seniman Jalanan.

Pyanhabib turut berlakon dalam filem itu membawa watak Osman Tikus.

Pengalaman luar biasa

Suasana memang santai. Diiringi irama yang bersilih ganti, ada antara pengunjung menari atau menyanyi, manakala kanak-kanak pula girang bertepuk tangan.

Pyanhabib berkata, pengalaman menulis puisi bersama 31 pelukis adalah pengalaman baru yang sangat luar biasa baginya.

“Penglibatan tekun 31 seniman sangat luar biasa dan dapat dilihat pada setiap karya yang dihasilkan. Sekali lagi, ini adalah pengalaman luar biasa,” katanya kepada Malaysiakini .

Pyanhabib turut mengenang memori lampaunya dengan berkata, pada antara 1970 hingga 1980–an, aktiviti seperti itu dikenali sebagai “manifestasi dua seni” kerana melibatkan dua genre berasingan.

Namun, kata Pyanhabib, acara Melukis Puisi untuk karyanya lebih unik lagi kerana melihatkan tiga genre, iaitu puisi, lukisan dan muzik.

Sementara itu, Imuda pula berkata, beliau teruja bukan saja kerana ada acara seni seperti itu, malah pemilihan tempat sangat bersesuaian.

“Pameran seni ini amat baik kerana membuka peluang kepada pelukis baru dan lama mencari subjek atau tema dalam seni mereka.

“Selain itu, memberi peluang juga kepada pengunjung untuk melihat karya pelukis kita,” katanya.

Ramai pelukis terkenal

Imuda menambah, konsep seni gambar dan puisi seperti itu pernah berlangsung sebelum ini dengan menampilkan Sasterawan Negara, A Samad Said di Galeri Pelita Hati.

“Jadi dengan adanya acara ini kita dapat membongkar pemikiran Pyanhabib,” katanya.

Katanya lagi, lukisan dan puisi adalah seni abstrak dan boleh diinterpretasikan dengan pelbagai cara.

“Ia bukan seperti kebiasaan pelukis yang hanya melukis dan diterjemah menggunakan kapsyen,” katanya.

Antara pelukis terkenal yang turut terlibat dalam pameran ini adalah Jailani Abu Hassan, Aznan Omar dan pengarca kontemporari Adeputra Masri.

Selain itu ia turut menampilkan pelukis yang terkenal dengan karya media campuran bertemakan politik Malaysia Latif Maulan, artis fotorealis figuratif Anne Samat serta Azrin Mohd yang sedang menempa nama di United Kingdom.

Sambil pengunjung menikmati karya lukisan dan arca yang terhasil daripada intepretasi seniman terhadap sajak Pyanhabib, vokalis kumpulan BangsArt, Amir Abd Hadi beraksi di pentas utama dengan menyanyikan lagu medley mereka.

Karya itu didokumentasi dalam bentuk buku terbitan bersama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan HOM Art Trans. Ia dijual pada harga RM35 senaskhah.

Pameran ini bermula dari 27 Mei sehingga 3 Jun ini dengan kemasukan percuma.

Lihat Komen
ADS