Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Mana janji BN di Teluk Intan lepas setahun'
Diterbitkan:  May 31, 2015 12:38 PM
Dikemaskini: 10:25 AM

Calon DAP dalam pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud mempersoal lima janji manifesto BN di kawasan itu setahun lalu yang kini dianggapnya "janji tinggal janji" dan BN masih "berdolak dalih" melaksanakannya.

Genap setahun calon BN Datuk Mah Siew Keong memenangi PRK itu hari ini, Dyana yang juga setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang berkata pelbagai tanda tanya timbul mengenai janji manifesto BN  itu kepada pengundi parlimen itu.

Dyana membangkitkan janji itu antaranya pembinaan institusi pengajian tinggi terkemuka, menara jam condong diisytihar sebagai tapak Warisan Dunia Unesco dan menjadikan parlimen itu sebagai hab pertanian moden.   

Selain itu, beliau juga bertanya mengenai perkembangan kemudahan zon wifi dan rancangan tebatan banjir di Teluk Intan dengan anggaran kos sebanyak RM360 juta.

"Penduduk dan pengundi Teluk Intan semestinya ingin mengetahui apakah status terbaru berkenaan pelbagai pelan pembangunan dan penambahbaikan yang dijanjikan.

"Saya berharap supaya manifesto itu bukan hanya janji tinggal janji dan menggesa agar ia dikotakan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong yang juga merupakan seorang menteri kanan kerajaan BN," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mengulas mengenai pembinaan universiti, Dyana berkata penduduk masih menunggu untuk mendengar pelan terperinci pembangunannya serta manfaat yang diperolehi jika ia terlaksana.

"Sehingga kini, lot tanah yang telah dikenalpasti untuk pembinaan sebuah universiti masih belum digazetkan dan masih lagi di bawah nama sebuah syarikat tersenarai awam.

"Pelan terperinci pembangunan universiti juga masih belum diketahui.

"Sebelum ini, penekanan ke arah pendidikan melalui manifesto tersebut dikatakan bakal mengubah wajah bandar Teluk Intan," katanya.

Berkaitan menara condong, Dyana mempersoal tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi mengisytihar menara itu sebagai Bangunan Warisan Kebangsaan pada Februari tahun lalu sedangnya tindakan yang sama dibuat oleh Tan Sri Rais Yatim selaku menteri kabinet ketika itu Mei 2012.

"Oleh itu, pengumuman oleh timbalan perdana menteri pada Februari lepas tidak menandakan usaha baru dalam mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

"Adakah pengisytiharan kali kedua oleh TPM itu hanya untuk memperdayakan pengundi?" kata Dyana.

Mengulas berkaitan hub pertanian pula, Dyana menjelaskan kerajaan Perak pada Disember 2014 menyatakan tiada cadangan menjadikan parlimen itu sebagai hub pertanian moden sekaligus menafikan janji BN yang dibuat Mah.

"Jadi, bagaimanakah Teluk Intan boleh dijadikan hab pertanian moden seperti yang telah dijanjikan?" soal Dyana.

Mah jawab

Bagaimanapun, dalam akhbar Cina Kwong Wah Yit Poh semalam melaporkan Mah berkata beliau telah memenuhi 70 peratus janji pilihan raya kecil Teluk Intan.

Ini termasuk tebusguna tanah untuk pembinaan sebuah universiti di parlimen itu, pembinaan benteng sungai dan penubuhan empat pusat Unifi menjelang 2016.

Beliau berkata walaupun projek universiti itu sedang bergerak perlahan-lahan, tanah asal seluas 20 ekar telah dikembang menjadi 80 ekar dan kelulusan ini diberi hanya sebulan yang lalu.

Projek tersebut akan diteruskan selepas dana sebanyak RM40 juta diluluskan.

Mengulas kerja penambakan Sungai Teluk Intan, Mah berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7.5 juta bagi menaik taraf dari benteng lumpur kepada benteng batu, dan kerja telahpun dijalankan.

Sementara itu pengerusi Gerakan juga berkata, Menteri Penerangan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berjanji kepadanya bahawa projek jalur lebar tersebut akan siap pada 2016.

Selain projek yang dibangkitkn Dyana, Mah turut berbangga dengan pelbagai pencapaian yang diperolehi dalam tempoh beliau menjadi MP Teluk Intan.

Ia termasuk berjaya melobi bagi pembinaan susur keluar ke Teluk Intan dalam cadangan lebuh raya pesisir pantai sejauh 200 kilometer antara Selangor dan Perak dan stadium mini di kawasan itu akan siap akhir tahun ini.

Lihat Komen
ADS