Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KP: Tiada pengawet terlarang dalam durian
Diterbitkan:  Jun 2, 2015 10:44 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Kementerian Kesihatan setakat ini masih belum menemui sampel durian yang dikatakan tercemar dengan bahan kimia pengawet seperti yang disebarkan melalui media sosial.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut memberi jaminan bahawa buah durian yang berada dalam pasaran pada masa ini selamat untuk dimakan.

"Sehingga kini, hasil pemantauan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas durian di pasaran tempatan termasuk yang diimport mendapati bahawa tiada sampel yang dikesan mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan.

 

“KKM berharap dengan penjelasan ini, orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memberi amaran, pengimport, pengedar dan penjual buah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Makanan 1983 sekiranya buah jualan mereka mengandungi bahan beracun dan memudaratkan kesihatan.

“Ia satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Satu video yang tersebar melalui media sosial bulan lalu menunjukkan individu tertentu menggunakan satu cecair berwarna kuning, kononnya untuk mengawet buah tersebut.

Penyebaran video berkenaan menimbulkan kebimbangan sesetengah pengguna yang khuatir sekiranya ia merupakan bahan beracun.

Pengguna terbabit juga bimbang sekiranya buah tersebut masuk ke pasaran Malaysia.

Lihat Komen
ADS