Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kami 'non-partisan', kata ketua kumpulan Kristian

Menjelang pelancaran satu kumpulan baru Kristian malam ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebagai tetamu yang kehormat, malam ini, pengerusinya, Rev Wong Kim Kong, memberi jaminan bahawa ia adalah 'non-partisan'.

Wong (gambar) berharap orang ramai bertenang dan memberi kumpulannya - Christians for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM) - masa untuk membuktikan keikhlasan dan kejujurannya.

Katanya, berilah mereka masa, melalui aktivitinya nanti, untuk membuktikan keikhlasannya dan mengesahkan sama ada a bermotifkan politik atau dimanipulasi oleh orang lain.

Ketika dihubungi Malaysiakini semalam, Wong menjelaskan bahawa CPHM yang menjemput Najib untuk melancarkan kumpulan itu dan "bukanlah sebaliknya".

Kumpulan itu telah menghantar jemputan itu pada sekitar Februari dan Mac tahun ini dan tiada jawapan dari pejabat Najib sehinggalah 28 April.

Selain Najib, Wong berkata CPHM juga telah menjemput semua menteri kabinet yang beragama Kristian untuk menghadiri majlis itu, dan juga pemimpin tinggi semua parti politik, termasuk dari Pakatan Rakyat.

Ini, tegas Wong, bukanlah kali pertama beliau menjemput seorang perdana menteri menghadiri sesuatu majlis.

Sebelum ini, katanya, sebagai sebahagian daripada tugasnya mengetuai National Evangelical Christian Fellowship (NECF), beliau telah berjaya menjemput Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghadiri dua persidangan antarabangsa.

"Apabila kami melakukannya pada masa itu, kami juga menerima banyak kritikan. Pada akhirnya, mereka melihat hasilnya. Saya masih menyimpan semua keratan akhbar," katanya.

Wong menjelaskan bahawa CPHM telah menjemput perdana menteri untuk merasmikan pelancaran kumpulan itu kerana ia merasakan bahawa ia memerlukan sokongan seseorang dalam kedudukan Najib.

"Untuk mencapai kumpulan-kumpulan lain yang curiga terhadap orang Kristian, atau tidak mesra kepada kami, maka kami memerlukan seseorang yang berpengaruh untuk memberi kami kredibiliti untuk dapat bercakap dengan pihak yang satu lagi.

"Dalam konteks Malaysia, orang yang berbeza menangani isu-isu mereka pada tahap yang berbeza dan dengan cara yang berbeza. Kami tidak mengatakan bahawa cara kami adalah cara yang terbaik... pendekatan kami adalah salah satu alternatifnya.

"Kami bukanlah yang terbaik. Kami bukan satu-satunya cara. Kami hanya mengatakan bahawa setiap individu yang berbeza boleh mempengaruhi," katanya.

Mengenai pembiayaan kumpulan itu, Wong berkata setiap sen adalah dari masyarakat Kristian Malaysia dan tidak ada dari kerajaan, termasuk perbelanjaan untuk majlis malam ini.

Majlis itu akan diadakan di dewan Hotel Majestic, sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Wong berkata kumpulan itu telah mengumpulkan dana yang diperlukan sebelum ia memutuskan untuk mengadakan majlis malam ini.

Ketika diminta menjelaskan peranan CPHM memandangkan sudah ada banyak kumpulan Kristian yang lain, Wong berkata, kumpulan lain lebih fokus dalam memenuhi keperluan kerohanian penganut Kristian.

Sebaliknya, kata Wong, matlmat CPHM adalah bagi memupuk persekitaran yang kondusif untuk kewujudan bersama yang aman penganut agama.

Sebagai contoh, katanya, CPHM tidak akan membangkitkan isu kalimah Allah, yang tertumpu kepada tuntutan yang diperjuangkan oleh pelbagai kumpulan Kristian yang lain untuk dibenarkan menggunakan kalimah "Allah" sebagai terjemahan bagi "God" dalam Alkitab bahasa Melayu.

Langkah itu dibantah oleh pelbagai pertubuhan Islam di Malaysia.

Sebaliknya, kata Wong, CPHM akan mengambil isu-isu yang mengganggu keharmonian antara agama, seperti protes di Taman Medan pada bulan April, di mana penduduk Islam menuntut supaya sebuah gereja di sana menurunkan tanda salib yang baru dipasang.

"(Bantahan) itu mengganggu masyarakat. Insiden seperti itu mewujudkan gangguan dalam masyarakat. Jadi kami akan menyuarakan pendapat kami," katanya.

Wong juga ditanya mengenai jemputan CPHM kepada kumpulan sayap kanan Melayu, PERKASA yang dilihat sebagai bersifat perkauman walaupun dinafi keras oleh Presidennya  Datuk Ibrahim Ali.

Wong berkata, sebagai seorang ahli agama, beliau percaya dengan pengajaran Alkitab untuk menyayangi semua, termasuk pihak musuh.

"Saya percaya ia menjadi tugas saya bahawa apa jua sikap atau tingkah laku seseorang itu, ia masih menjadi tanggungjawab saya untuk memaafkan dan menyayangi," katanya.

Wong berkata, begitu juga Stephen Ng, dengan artikelnya yang panjang lebar mempersoalkan motif CPHM yang telah disiarkan, termasuk di Malaysiakini.

Secara keseluruhan, kata Wong, kumpulan bukan-Kristian adalah kira-kira 30 peratus daripada tetamu jemputan di majlis malam ini, termasuk G25, yang merupakan kumpulan bekas penjawat kanan awam Melayu yang menggalakkan kesederhanaan.

[Baca berita penuh/asal]

 
 



 
 

Lihat Komen
ADS