Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bukan serang Search, tapi ideologi jahiliyah'

Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad yang sebelum ini lancang mengutuk kumpulan rock legenda Search kini bercita-cita melahirkan pemuda luar biasa "seperti Sultan Muhammad Al-Fateh".

Muhammad Al-Fateh adalah tokoh pemimpin kerajaan Uthmaniyah yang terkenal di Turki.

Muhammad Lukman yang baru pulang dari Istanbul berkata, beliau pulang ke negara ini bersama semangat dan agenda besar berkenaan.

"Saya tidak berkesempatan menghurai panjang isu 'hantu' di Festival Belia Putrajaya 2015 sebelum ini kerana jadual yang ketat sepanjang menjadi wakil ISMA untuk berada di Istanbul sebagai pemerhati proses pilihan raya Turki," katanya.

Menurut Muhammad Lukman, status di Facebooknya mengenai isu “hantu” dan kumpulan Search "meleret" sehingga tidak fokus kepada isu sebenar.

Namun di sebalik kenyataan itu, Muhammad Lukman berkata, permohonan maafnya kepada Search tidak bermaksud beliau bersetuju dengan penganjuran konsert di Festival Belia Putrajaya 2015.

"Tindakan memohon maaf bertujuan memahamkan semua pihak, serangan saya bukanlah kepada individu (bukan personal attack); terhadap kumpulan Search.

“Tetapi fokus saya adalah serangan kepada ideologi jahiliyah dan fasad dan pihak-pihak yang menyokong dan mendukung ideologi merosakkan tersebut," katanya di Facebook semalam.

Sebelum ini Muhammad Lukman dikecam pelbagai pihak kerana menyelar Search sebagai hantu.

Keceluparan itu mendorong vokalis Search, Amy, 'mentarbiah' Muhammad Lukman.

Kata ahli motivasi berkenaan, beliau tetap tidak bersetuju dengan festival belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu.

"Apa yang berlaku semasa Festival Belia yang lalu, para belia disajikan dengan hiburan melampau yang rata-ratanya melanggar garis panduan di atas (ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) adalah sangat dikesalkan.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kecuaian dan sikap tidak sensitif terhadap tuntutan Islam, iaitu agama yang menjadi agama persekutuan sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan Malaysia.

"Bahkan lebih mengecewakan apabila ada ahli akademik dan agamawan tidak menyatakan prinsip dengan jelas tentang isu hedonisme yang wujud secara tersusun dalam masyarakat.

“Tetapi lebih suka untuk sibuk mempersoalkan kaedah perkataan yang harus digunakan pendakwah," katanya.

Lihat Komen
ADS