Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perwakilan Pemuda PAS Johor membangkitkan isu walak (taat setia) yang didakwanya diamalkan secara terpilih dalam parti Islam itu.

Syafiq Aziz mempersoalkan mengapa terdapat segelintir ahli yang hanya walak kepada individu tertentu tetapi tidak kepada pemimpin sayap kanan parti itu Suhaizan Kaiat.

"Mutakhir ini timbul masalah tarbiah contohnya yang berlaku ialah walak yang terpilih. Kita tak walak pada keputusan parti tetapi kita boleh walak pada individu tertentu.

"Sebagai contoh, kita semua dalam dewan muktamar ini bersetuju untuk walak kepada presiden, tetapi kenapa dalam konteks Pemuda, kita tidak walak kepada ketua pemuda dan saf pimpinannya hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan ucapan dasar ketua pemuda di Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Shah Alam hari ini.

Kenyataan yang dibuat Syafiq itu mendapat "boo" dari pemerhati serta perwakilan sehingga menyebabkan Timbalan Pengerusi Tetap Dr Ridhuan Mohd Noor meminta supaya semua orang bertenang.

"Bertenang," kata Ridhuan.

Suhaizan dicabar anak ikon ulama PAS allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sepenggal mengemudi dewan itu, beliau dilihat berdepan cabaran besar mempertahankannya kali ini susulan kebangkitan arus besar kumpulan proulama dalam PAS.

Pertikai bacaan al-Quran Suhaizan

Sementara itu, perwakilan Pemuda PAS Terengganu pula menegur bacaan al-Quran Suhaizan sebelum melaungkan slogan perjuangan.

"Perbetulkan bacaan al-Quran sebelum melaungkan perjuangan. Jangan ambil mudah bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran ini pun tidak diperhalusi jadi di mana wawasan rabbani, fakih dan haraki yang diutarakan?" kata Raja Arizal.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh perwakilan Selangor Mohd Zuhdi Mat Piah.

"Saya tak minat nak kritik dalam Facebook tetapi saya nak kritik di sini, di muktamar. Sepatutnya ucapan itu dibaca berkali-kali dan dirujuk dulu dengan mereka yang mahir terutamanya kalimah yang menggunakan bahasa Arab.

“Saya minta maaf dan saya tak nak ia berulang dan disebut di media sosial di luar sana. Kita sebut di sini (muktamar),” katanya.

Lihat Komen
ADS