Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perwakilan Dewan Ulama PAS Melaka dan Negeri Sembilan merayu kepada kepimpinan PAS segera memperbaiki hubungan dengan rakan sekutu DAP dan PKR demi meyakinkan bukan Islam untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Perwakilan Melaka Mohd Khairi Abdul Aziz berkata anggota PAS di negeri itu masih memerlukan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dikekalkan kerana jika PAS berseorang mereka berdepan dengan tekanan amat berat daripada musuh dalam pilihan raya.

Apatah lagi, komposisi penduduk dan suasana politik di negeri di selatan Malaysia khususnya Melaka tidak sama dengan negeri di pantai timur

"Kita menghadapi tekanan daripada kalangan sahabat walaupun kita sering mengadakan program bersama dengan DAP dan PKR.

"Tetapi sekiranya (kepimpinan PAS) pusat dapat memainkan peranan penting untuk memperbaiki hubungan (dengan rakan sekutu), itu lebih baik.

"Politik di negeri utara, pantai timur tidak sama dengan di selatan. Bagaimanapun kita tidak rasa takut (kalah), kita yakin dengan perjuangan ini," katanya ketika membahaskan ucapan dasar ketua Dewan Ulama PAS di Gombak petang ini.

Beliau yang menjadi calon PAS bagi DUN Air Molek pada pilihan raya umum yang lain, sewaktu bertanding di kawasan tersebut, Mohd Khairi berkata pengundi Cina memberi sokongan penuh kepada PAS walaupun kalah sokongan pengundi Melayu.

"Sekarang mereka (orang bukan Islam) masih ada harapan sokongan kita. Kami amat memerlukan tahaluf siyas i," kata ditemui Malaysiakini selepas membahaskan usul tersebut.

Sementara itu, perwakilan Negeri Sembilan Abdul Rahim Mohamad turut menyuarakan perkara yang hampir sama dengan Mohd Khairi dengan merayu supaya mengurangkan perselisihan dalaman dan luaran demi mencapai kemenangan.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa saf kepimpinan PAS perlu diperkukuhkan dan merapatkan hubungan dengan bukan Islam.

"Untuk mendapatkan kuasa, ia bukan sahaja masuk pilihan raya untuk menang tapi menyampaikan dakwah, untuk menjelaskan kefahaman Islam kepada bukan Islam dan orang Islam yang tidak memahami prinsip-prinsip PAS.

"Kumpul kekuatan fizikal untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya dalam tempoh dua tiga tahun. Tahun ini, tahun hadapan mesti selesaikan masalah," katanya.

Tak semua setuju

Sementara itu, nada berbeza diutarakan oleh perwakilan Pulau Pinang Mohd Hanif Harun yang mencadangkan Majlis Syura dan jawatankuasa pusat mengkaji dengan segera hubungan PAS dalam Pakatan.

Dibangkitkan juga isu pemboikotan jentera Pemuda PAS Permatang Pauh selepas Pemuda PKR (AMK) enggan memohon maaf kerana menyerang Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu hudud dan tidak memohon maaf terbuka.

"Sungguh nak mengalahkan BN kita kena bergabung tenaga tetapi kita kena hormati prinsip (masing-masing), kena faham,” katanya.

Dalam perbahasannya juga, beliau turut mengkritik pemimpin PAS yang seolah-olah memberi ketaatan kepada pemimpin parti lain berbanding presiden PAS khususnya berkaitan isu hudud.

"Ada pemimpin yang tidak setuju apa yang dibawa oleh PAS. Ia dilihat mengeruhkan kefahaman prinsip dalam PAS.

"Ambil juga tindakan pemimpin yang mengutuk presiden yang seolah-oleh duduk dalam parti PAS tapi walak kepada orang lain," katanya

Beliau turut memetik kenyataan Hadi yang mahu Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diperkasakan memandangkan mereka menyokong dasar parti berbanding rakan sekutu PKR dan DAP.

Lihat Komen
ADS