Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru para menteri yang tidak bersetuju dengan perdana menteri agar meletak jawatan dengan terhormat.

Katanya anggota jemaah menteri tersebut perlu berbuat demikian kerana mereka bertanggungjawab untuk bersetuju dengan segala keputusan perdana menteri.

"Di kalangan anggota Kabinet, jika seseorang hilang keyakinan atau hilang kepercayaan (pada PM), atau mempersoalkan keputusannya secara terbuka, cara paling terhormat baginya adalah untuk meletak jawatan tanpa perlu diminta,” katanya.

Beliau membuat kenyataan itu dalam keadaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini masih tidak menentu ekoran skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia susulan kata dua yang diberikan Najib pada anggota jemaah menteri agar meletak jawatan jika tidak bersetuju dengan beliau dalam isu 1MDB.

Antara menteri yang menimbulkan kebimbangan mengenai isu hutang 1MDB itu termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengkritik firma tersebut dalam satu taklimat tertutup bersama pemimpin Umno.

Sementara itu, Zahid bagaimanapun mengelak ketika ditanya mengenai pendirian seorang lagi menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bahawa jemaah menteri tidak bertanggungjawab ke atas masalah 1MDB.

“Anda patut tanya dia, bukan saya,” katanya.

 

Shafie yang juga naib presiden Umno menyatakan bahawa menteri sudahpun menjalankan tanggungjawab dengan membangkitkan soalan mengenai 1MDB semasa mesyuarat kabinet.

Maka, jemaah menteri tidak boleh dituduh tidak bertanggungjawab jika 1MDB tidak menjelaskan isu tertentu kepada masyarakat umum.

Shafie juga bertegas bahawa beliau tidak akan meletak jawatan dari Kabinet hanya kerana membangkitkan isu yang berkepentingan awam.

Selanjutnya, Zahid turut mengulas mengenai kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa para jemaah menteri tidak mampu menangani isu 1MDB.

“Itu hanyalah pendapat dia,” kata Zahid.

Lihat Komen
ADS