Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang mengingatkan semua pemimpin dan ahli tidak terperangkap dengan permainan musuh mengenai usaha pengasingan golongan ulama dan profesional.

Tegasnya, tindakan tersebut sebagai usaha memecahbelahkan PAS sedangkan kumpulan itu termasuk aktivis parti, yang menyumbang kemenangan Islam.

"Sejarah PAS tersangat jelas, di mana kedua-dua golongan ini berganding bahu menubuh dan menggerakkan PAS hingga ke hari ini.

"Gagasan kita jelas dalam puluhan muktamar, bahawa kitalah yang menggerakkan usaha mengulamakan profesional dan memprofesional ulama," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor.

Pada masa yang sama, Hadi turut menegaskan "tiada pemisahan" antara kedua-dua kumpulan itu sebaliknya PAS berdepan dengan "tempias sekularisme" yang diwujudkan musuh Islam untuk menghalang kebangkitan Islam dan gerakannya.

"Usaha sebegini dilakukan oleh musuh Islam di seluruh pelosok dunia dengan mnegambil kesempatan daripada kelemahan yang wujud dalam saf kebangkitan Islam terkini.

"Maka di sana wujud kalangan yang mahu menang secara cepat dan tergopoh gapah berjuang secara tasahul (bermudah-mudah) dan tasyaddud (keras)," katanya.

Lihat Komen
ADS