Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertegaskan sekali lagi - seperti muktamar tahun lalu -  bahawa parti itu akan terus dan tetap bersama Pakatan Rakyat selagi tidak menggadaikan prinsip dan dasar parti.

Pada yang sama, beliau menegaskan PAS tidak pernah mencampuri dan meminta rakan sekutu mengkaji dasar sekular yang diperjuangkan oleh mereka.

"Manakala perjuangan yang menjadi agenda yang yang berbeza yang sudah tentunya tiada dalam polisi bersama, adalah menjadi perjuangan parti masing-masing.

"Sebab itulah walaupun kita tahu parti kawan kita adalah memperjuangkan perlembagaan sekular, yang tentunya bercanggah dengan dasar PAS.

"Apatah lagi kita tidak pernah mencampuri siapa yang patut atau tidak patut berada dalam kepimpinan parti masing-masing walau kita diserang siang dan malam.

"Oleh yang demikian PAS akan terus melaksanakan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat selagi tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan Sunnah.," katanya.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan ahli dan pimpinan supaya tidak ghairah meninggalkan dasar dan prinsip parti dengan memelihara batas tahaluf siyasi dan taat kepada parti.

"Allah Taala menguji kita dengan sedikit kemenangan, namun jangan kita terlalai dengan kemenangan sehingga lupa amanah untuk menegakkan agama dan memastikan dunia diurus tadbir dengan peraturan agama," katanya.

Imbau kerjasama dari 1969

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertemakan “Istiqamah Hingga Kemenangan" dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor.

Dalam ucapannya, Hadi turut mengulangi penegasan parti itu sebelum ini bahawa PAS akan melaksanakan tahaluf siyasi dalam Pakatan dalam perkara dipersetujui bersama.

Perkara tersebut antaranya menentang kezaliman, rasuah, ketirisan, urus tadbir telus yang menjadi titik pertemuan.

"Agenda ini kita rangkakan sebagai panduan, sebagai perkara yang dipersetujui dalam polisi bersama Pakatan," katanya.

Hadi mengimbau sejarah PAS mengadakan kerjasama politik dengan perbagai parti sejak tahun 1969 hingga penubuhan Pakatan selepas pilihan raya umum 2008.

"Namun kesemua ini dilakukan melalui kaedah-kaedah yang dibenarkan syarak dan syarat-syarat yang tidak mengikat kita untuk membawa Islam.

"Perlu kita ingat bahawa apa sahaja persepakatan yang mengikat PAS untuk meninggalkan perjuangan dan agenda Islam yang dibawa adalah tidak boleh diikuti sama sekali," katanya.

Lihat Komen
ADS