Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS, parti yang sinonim dengan idea kepimpinan ulama, hari ini menegaskan mereka bukan pengamal sistem teokrasi yang mempertuhankan ahli agama seperti dilakukan golongan Ahli Kitab.

Sebaliknya, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam penggubalan dasar PAS menjadikan empat sumber - al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias - sebagai hukum tertinggi.

"Inilah yang membezakan kita dengan suara demokrasi rakyat yang melaungkan slogan Suara Rakyat Suara Keramat, Hidup Rakyat ataupun kita mengikut kehendak rakyat yang jahil atas nama demokrasi sehingga melanggar sempadan Allah.

"PAS menegakkan konsep demokrasi berakidah Islam, bertuhankan Allah yang Maha Esa. Buka demokrasi barat yang bretuhankan manusia walau sebijak mana sekali pun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasarnya dalam Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa muktamar dan prinsip permesyuaratan sebagai "syura yang tidak boleh mengatasi hukum tertinggi" dalam perlembagaan PAS.

"Inilah yang membezakan kita dengan pihak lain. Maka PAS wajib memelihara jati dirinya sendiri dalam semua keadaan.

"Laksana ikan yang tidak menjadi masih, walaupun berada dalam lautan masin yang luas mengelilinginya," katanya.

Lihat Komen
ADS