Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas sehari suntuk mendengar perbahasan serius perwakilan mengenai ucapan dasar presiden, perwakilan dari Pulau Pinang tampil mencuit hati orang ramai yang menghadiir hari kedua muktamar dengan gaya bersahaja.

Pada masa sama, menggunakan loghat utara yang pekat Khalid Man sempat menyelitkan mesej memujuk tiga pemimpin PAS dari kumpulan properubahan yang tewas dalam pemilihan parti semalam.

Menganggap hubungan beliau dengan Mohamad Sabu, Khalid Samad dan Dr Hatta Ramli ( kiri ) sebagai rapat seperti bapa dan anak, perwaklian yang berusia hampir 80 tahun mengimbau sejarah hubungannya dengan ketiga-tiga pemimpin tersebut.

Kata Khalid, ketiga-tiga tokoh berkenaan sering mengunjungi beliau di rumahnya di Pulau Pinang sejak mereka sama-sama aktif dalam PAS di peringkat awal beberapa dekad lalu.

"Hari ini bila mereka tak dipilih...tuan-tuan jangan marah kat saya, kata saya sokong orang ini, orang tu.

"Nanti boo kat saya, saya lari kot (ikut) pintu tu. Pintu dah buka dah," katanya yang mengundang gelak ketawa hadirin.

Khalid kemudian menambah: "Saya harap Mat Sabu, Khalid Samad, Hatta, jangan berhenti (dalam perjuangan). Dengan peristiwa yang berlaku bukan tanda penamat dalam perjuangan Islam."

Sakit, memang sakitlah

Penegasan yang diberikan itu diiringi laungan takbir oleh perwakilan.

Khalid kemudian menyeru perwakilan menghayati pengorbanan pejuang Islam Khalid Al-Walid yang tetap komited berjuang walaupun dipecat daripada menjadi panglima tentera.

"Mat Sabu, Dr Hatta, Khalid sabar, sabar. Orang yang bersabar tidak ada halangan untuk berjaya.

"Mesti sabaq (sabar), sakit, sakitlah, tapi kena sabaq ," katanya.

"Perubahan yang berlaku adalah satu takdir yang ditentukan Allah. Mungkin ia sesuatu yang mengejutkan daripada lalai," katanya lagi.

Beliau turut mententeramkan perwakilan supaya menegur Lim Guan Eng supaya tidak menyerang Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga mahu memutuskan hubungan dengan beliau.

"Kalau kamu serang pasal hudud, saya sekupang tak marah sebab kamu tak faham Islam, kami dok senyum, tapi kamu serang peribadi datuk seri presiden, kami pun tersentak," katanya.

Beliau juga turut meminta akar umbi PAS dan pemimpin khususnya di 13 kawasan PAS di Pulau Pinang supaya bersabar dengan karenah kerajaan negeri itu.

"Kerajaan Pulau Pinang baik. Walaupun baik ada cacat. Kalau dah cacat, jangan dok jaja, sembunyi-sembunyilah sikit. Sabaq .

"Kalau tak sabaq, mai (mari) rumah saya saya jamu makan free ," katanya yang mengundang sekali lagi gelak ketawa perwakilan.

Lihat Komen
ADS