Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak semua perwakilan di Muktamar PAS menerima baik usul Dewan Ulama  yang mahu parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Malah, perwakilan dari Kota Raja, Selangor, Norhalim Sirome mencadangkan supaya satu muktamar khas dibuat bagi membahas usul tersebut memandangkan tidak mudah untuk para pimpinan membuat keputusan berhubung usul berkenaan.

"Kita tak boleh ambil mudah perkara itu sebab seperti yang diucapkan oleh perwakilan Selangor sebelum ini, bercerai memang senang tetapi akibat selepas cerai itu yang penting. Perkara ini tak boleh jumpa dua tiga minit dan kemudian buat keputusan.

"Kita bermuktamar dan kita ada hak. Keputusan ini keputusan muktamar maka inilah tempat untuk kita berbincang. Bukan di WhatsApp, di Facebook tetapi di sini kita bincang. Saya setuju kalau usul itu di bawa ke satu muktamar khas. Bukan mudah untuk memutuskan hubungan.

"Jangan ambil mudah. Pemimpin jangan ambil mudah. Wahai ulama jangan ambil mudah. Ingat, memang Allah reda tetapi (untuk) reda itu perlulah dengan akal yang cerdik," kata perwakilan tersebut ketika sesi perbahasan usul pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor.

Kemudian Pengerusi Tetap Husin Ismail meminta supaya semua perwakilan bertenang dan mengatakan perkara itu akan diputuskan oleh pimpinan PAS Pusat.

"Isu itu akan diputuskan oleh pimpinan yang ada. Kita bertenang. Insya-Allah, Allah bersama kita," kata Husin.

Biar perwakilan bahas

Selain itu, perwakilan dari Rembau, Negeri Sembilan Muhammad Faiz Fadzil turut meminta penjelasan mengapa usul tersebut dilabel sebagai "usul sensitif" dan tidak dibincangkan dalam muktamar.

"Kenapa tak perlu bahas isu sensitif sedangkan ini hala tuju PAS. Apa-apa keputusan tentang keputusan dalam muktamar perlu di bawa dalam muktamar sama ada nak kekal dalam Pakatan atau tidak. Kita tak nak berkawan dengan DAP tetapi nak bersama Pakatan. Pakatan ini akan tempang.

"Kalau berani, tegas nak putus dengan DAP, biar perwakilan bahas," katanya.

Perkara itu kemudian mendapat reaksi Husin dan beliau mengatakan: "Perwakilan Rembau, nanti ada sesi penggulungan dari pimpinan," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Penapisan Usul Datuk Mahfuz Omar berkata, usul yang dibawa Dewan Ulama PAS itu tidak akan dibahaskan pada hari ini kerana ia merupakan usul yang sensitif dan perlu diputuskan oleh pimpinan PAS.

Malah, ketua penerangan PAS itu juga berkata usul itu perlu dibincangkan di peringkat atasan kerana dikhuatiri akan menjejaskan hubungan Pakatan di Pulau Pinang dan Selangor.

 

"Usul ini diterima tanpa bahas kerana ia usul yang sangat sensitif iaitu usul Dewan Ulama dan PAS Tumpat untuk kukuhkan Pakatan tanpa DAP. Usul ini sangat sensitif dan akan dibawa kepada pimpinan untuk buat keputusan," kata Mahfuz.

Lihat Komen
ADS