Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Adakah PAS sudah sudah sah memutuskan hubungan dengan DAP? Soal ini masih menimbulkan kekeliruan.

Usul memutuskan hubungan itu diluluskan tanpa bahas selepas PAS anjurkan pesta menghentam DAP – bermula daripada muktamar Dewan Ulama sehinggalah muktamar penuh Khamis hingga Sabtu lepas.

Berdasarkan konteks ini, orang ramai faham bahawa PAS sudah mahu berpatah arang berkerat rotan dengan DAP, setelah lama kata mengata dan sindir menyindir antara satu sama lain dilontarkan.

Bagaimanapun, selepas ucapan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dalam penggulungan terakhirnya di muktamar Kuala Selangor pada Sabtu, parti itu seolah-olah mahu menarik brek.

Ucapan Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyampaikan ucapan selama 15 minit yang penuh sinis dan menyebakkan penyokongnya.

Mohamad menjadi antara pelopor PAS yang meletak jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang.

Beliau, rakan baik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, mengambil keputusan itu atas alasan bimbang dituduh tidak taat kepada ulama.

'Mencadang' jadi 'menegaskan'

Namun, keputusan muktamar – badan tertinggi pembuat keputusan dalam PAS – kini dikatakan membawa maksud berlainan, yang kelihatan lebih lunak dan berhati-hati.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata usul sayap parti itu sebenarnya “mencadangkan” Majlis Syura dan jawatankuasa pusat membatalkan kerjasama dengan DAP.

Bagaimanapun, seolah-olah menyalahkan jawatankuasa usul muktamar pimpinan Datuk Mahfuz Omar, Khairuddin berkata usul itu telah dipinda dengan perkataan baru “menggesa”.

Sementara itu, naib presiden baru Datuk Iskandar Samad pula tampil berkata usul itu belum lagi diluluskan – yang terus menimbulkan tanda tanya.

Persoalannya, apa kuasa sebenar muktamar dalam PAS? Semua pihak sebelum ini menanti-nantikan keputusan berhubung hala tujunya dalam Pakatan.

Malah, di Internet, golongan yang tidak berpuas hati terus menyatakan suara dengan memuat naik peruntukan dalam perlembagaan PAS yang menjadikan muktamar sebagai kuasa pemutus sesebuah perkara dalam parti.

Walak kurang bila wang hilang?

Terdapat juga pihak yang memberi tafsiran berbeza, iaitu PAS mahu berbaik-baik semula dengan DAP dengan bersembunyi di sebalik hujah teknikal.

Kata mereka, keputusan akan dibuat oleh Majlis Syura. Bagaimanapun, majoriti anggotanya dalam badan itu diwakili oleh pemimpin-pemimpin daripada Dewan Ulama yang membawa usul itu.

Dengan itu, maksudnya, usul itu seolah-olah masuk poket kiri keluar poket kanan semata-mata dan keputusan sidang Majlis Syuara nanti hanya sekadar formaliti.

Kenapa agaknya, selepas maraton lama berperang dengan DAP, PAS kini mahu berlembut? Ia tentunya tidak semudah salam dan senyum kelat Hadi dengan Lim Kit Siang di Kundasang semalam.

Penganalisis dan pengamat politik PAS daripada dekat, Wan Saiful Wan Jan di Facebook beliau membuat telahan nakal:

“Dewan anda dah buat keputusan sebulat suara. Apa tunggu lagi? Atau walak dah berkurang bila takut hilang duit?” soalnya.


JIMADIE SHAH OTHMAN anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS