Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selesai sudah upacara mencampak keluar para Jebon dan Anwarinas. Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudahpun selesa bergambar dalam satu bingkai bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mantan Timbalan Presiden PAS, Saudara Mohamad Sabu pula khabarnya meletakkan semua jawatannya di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang kerana menurut kata para ulama yang mahu PAS berpisah dengan DAP.

Semoga yang lainnya turut menyusul, demi mendengar nasihat dan kata para ulama supaya tidak sesat, lalu dituduh jebon.

PAS Pulau Pinang menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang dipimpin Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sejak sekian lama. Kini, mereka dikurniakan peluang untuk berlawan secara berdepan dengan Guan Eng; sama ada menggunakan siku atau lutut masing-masing.

ADUN PAS tunggal di Pulau Pinang kini boleh berdiri gagah mempersoal dan mengkritik Ketua Menteri tanpa rasa segan silu lagi. Perkumpulan pimpinan PAS Pulau Pinang yang menikmati jawatan di negeri Pulau Mutiara itu juga kini sudah boleh mengkritik kerajaan negeri tanpa rasa bersalah menerima gaji daripada kerajaan negeri.

Sesungguhnya perancangan Tuhan itu amat hebat.

Namun di tengah kerancakan perancangan Tuhan itu, ada pula yang mahu menukar pendirian. Ada yang menyebut, usul untuk berpisah dengan DAP itu belum muktamad. Malah ada pula yang berkata, keputusan itu mesti dibincangkan di peringkat Majlis Syura.

Jika demikian, PAS tidak perlu ada muktamar jika keputusannya masih perlu dibawa ke Majlis Syura. PAS juga tak perlu ada Majlis Syura, kerana keputusan jawatankuasa itu boleh dibatalkan oleh presiden PAS.

Menuju syurga

PAS malah tak perlu ada presiden, kerana keputusan penyandang jawatan paling tinggi dalam parti itu nampaknya hanya berdasarkan tunjuk ajar Umno. Justeru, PAS hanya perlukan Umno.

PAS tidak perlukan DAP, kerana DAP adalah parti kafir yang secara terang-terang membantah pelaksanaan hudud. Namun, kita tidak tahu kenapa PAS memerlukan DAP sebelum ini ketika pilihan raya 2013, walhal pada ketika itu DAP juga masih tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud.

PAS tidak perlukan jawatan di Pulau Pinang, kerana sebagai parti yang bermaruah dan telah memutuskan hubungan dengan DAP, parti Islam itu tidak perlu lagi melengung di dalam kerajaan dan semestinya berjuang bagi menawan negeri tersebut daripada kekuasaan DAP.

Janganlah menjadi seperti golongan yang meletakkan dunia di atas kepala, dan prinsip dibimbit di kedua belah tangan. Apabila dunia goyang, maka prinsip dilepaskan bagi menjaga dunia daripada tergolek jatuh.

PAS kini sudah setapak menuju syurga. Dengan lengsernya para jebon dan Anwarinas daripada ketumbukan utama PAS, jalan menuju keredaan Tuhan itu makin terbentang luas tanpa duri dan ranjau.

Tidak ada lagi Khalid Samad, Hatta Ramli, Hanipa Maidin, Dr Dzul, Suhaizan, Dr Siti Mariah, Dr Mujahid atau Husam Musa untuk menghalang jalan menuju syurga. Tidak ada lagi mereka ini untuk menjadi pesuruh bagi memujuk sokongan para liberal, pengundi atas pagar dan pengundi bukan Islam.

Tidak ada lagi mereka ini untuk hadir ke forum dengan kapasiti parti bagi merungkai permasalahan ekonomi dan sosial.

Yang ada kini adalah Haron Din, Nasruddin Hassan, Nik Abduh dan entah siapa lagi yang selama ini tidak dikenali rakyat Malaysia selebihnya. Sudah memang menjadi cita-cita kita untuk melihat para ulama terkedepan membawa isu ekonomi dan membongkar skandal Umno setiap hari.

Tidak ada lagi artis seperti Aishah, yang popular dengan lagu ‘Janji Manismu’ untuk menyertai lajnah kebudayaan, kesenian, rekreasi dan segala lajnah yang lagha serta menyimpang dari perjuangan PAS.

Tidak perlu lagi tanzim baru yang berteraskan ulama ini untuk kembali mendapatkan khidmat para jebon dan parasit serta munafiq haraki ini untuk mendekati khalayak yang tidak pernah selesa dengan imej Islam PAS. PAS pastinya mampu membawa dakwah mereka kepada golongan ini dengan pendekatan baru mereka menggunakan siku dan lutut masing-masing.

Pun begitu, di sini kita temukan persimpangan di mana PAS perlu bertanya dirinya sekali lagi; perjuangan dan parti mereka ini untuk siapa sebenarnya? PAS untuk orang PAS, atau PAS untuk seluruh rakyat Malaysia?

Dan adakah rakyat mangsa banjir di Kelantan akan tergolong dalam kalangan yang menerima kebaikan daripada haluan baru PAS ini, setelah terbiar tinggal di khemah usang sepanjang enam bulan lalu?


IZMIL AMRI ISMAIL wartawan Roketkini.

Lihat Komen
ADS