Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tuntut Najib letak jawatan lepas raya
Diterbitkan:  Jun 8, 2015 4:19 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membalas komen mesra Datuk Seri Najib Razak dengan menuntut perdana menteri meletakkan jawatannya selepas hari raya nanti.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Tuan Ibrahim berkata, perdana menteri tidak perlu menangguk di air keruh untuk menimbulkan semula fitnah terhadap PAS.

“ Jangan cuba menggunakan PAS untuk mengalihkan pandangan daripada isu yang lebih penting,” katanya.

Bagaimanapun tidak dinyatakan mengapa Tuan Ibrahim memilih memberi tempoh sehingga selepas Aidilfitri nanti untuk Najib meletak jawatan.

Terdahulu Najib dilaporkan berkata, Umno sedia berunding dengan PAS demi kemaslahatan Islam.

Najib juga memuji perwakilan dalam muktamar PAS kerana memilih kumpulan proulama yang dilihat beraliran konservatif untuk menguasai semua jawatan penting parti.

Kata Tuan Ibrahim, apa jua keputusan dalam muktamar partinya, pendirian mereka terhadap Umno adalah sama, iaitu tidak akan bergabung dengan Umno.

"Majlis Syura Ulama PAS menegaskan perkara ini pada 19 Mei yang lalu," katanya.

Sebagai langkah permulaan untuk mengambil tanggungjawab, kata Tuan Ibrahim, Najib harus melepaskan jawatannya serta-merta sebagai Penasihat 1Malaysia Development Berhad kerana Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan siasatan rasmi ke atas syarikat sarat dengan beban kewangan itu.

Kata Tuan Ibrahim, amat memalukan apabila ada syarikat dinaungi seorang perdana menteri sendiri perlu disiasat BNM.

Dalam nada menyindir Tuan Ibrahim berkata, Najib mungkin boleh melarikan diri daripada forum Nothing2Hide, namun beliau tidak boleh lari daripada masalah negara.

“Dengan insiden begitu memalukan, Najib tidak boleh terus-menerus memegang jawatan perdana menteri, menteri kewangan dan Penasihat 1MDB,” katanya.

Lihat Komen
ADS