Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin-pemimpin pusat PAS mengkritik tindakan rakan sejawat mereka Mazlan Aliman yang meletakkan jawatan daripada jawatankuasa pusat parti itu semalam.

Anggota jawatankuasa pusat Dr Zuhdi Marzuki secara sinis berkata menghormati sikap Mazlan yang menurutnya berterus terang “membina tembok pemisah”.

"Saya menghormati sikap beliau yang berterus terang membina tembok pemisah dengan majoriti besar ahli PAS yang telah memilih saf kepimpinan baru," kata Zuhdi kepada Malaysiakini hari ini.

Mazlan semalam meletakkan jawatan atas alasan ingin memberi fokus kepada NGO dipimpinnya selain kecewa dengan kekalahan teruk kumpulan progresif PAS dalam pemilihan parti.

Mazlan satu-satunya kumpulan daripada kem itu yang berjaya menempatkan diri dalam jawatankuasa pusat PAS ketika semua rakannya kecundang.

Sementara itu, Zuhdi juga melihat Mazlan ingin membawa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), NGO terkenal pimpinannya, bebas daripada pengaruh kepartian.

Nasrudin: Wajar terima amanah

Bagaimanapun, Zuhdi melihat tindakan itu tidak akan melemahkan PAS.

ANAK, sebuah NGO mesra PAS, memainkan peranan penting sebagai sebuah NGO memantau hal ehwal Felda.

Ia juga selama ini dilihat memainkan peranan penting mendekatkan pemimpin dan agenda PAS kepada pengundi Felda.

Sementara itu, seorang lagi anggota jawatankuasa pusat Nasrudin Hassan ( kiri ) pula beranggapan Mazlan, yang bergelumang dalam PAS lebih 30 tahun, sewajarnya tidak berundur.

"Saya hormati keputusan beliau dan itu adalah hak beliau walaupun saya secara peribadi menganggap sewajarnya Mazlan menerima amanah dan kepercayaan yang diberi oleh perwakilan kepada beliau.

"Saya doakan agar beliau terus istiqamah dengan perjuangan Islam ini," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berasa sedih dan meghormati keputusan yang dibuat oleh Mazlan serta mendoakan ANAK terus berjaya sebagai NGO membela nasib warga Felda.

"Saya dapat memahami perasaan beliau dan turut merasai luka parah di hatinya, oleh itu saya menghormati hak dan pendirian beliau," katanya.

"Insya-Allah bagi PAS, kita akan terus memberikan kerjasama kepada Pertubuhan ANAK Kebangsaan bagi memperjuangkan hak  dan nasib warga Felda khususnya dan pelbagai agensi lain," kata Tuan Ibrahim.

Lihat Komen
ADS