Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang anggota majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penubuhan parti baru oleh adik perdana menteri pastinya akan memberi kesan besar kepada politik negara.

Katanya, adik PM, Datuk Seri Nazir Razak sememangnya berpengaruh, namun, parti seperti itu tidak akan bertahan lama jika ia hanya ditubuhkan atas rungutan yang timbul.

"Parti tidak boleh dibentuk atas rungutan. Sesebuah parti perlu dibentuk berdasarkan asas dan dasar yang kukuh kerana ini akan menentukan sama ada parti itu akan bertahan atau tidak.

Beliau memberi contoh, Semangat 46 yang terbentuk selepas Umno berpecah dua akibat pemilihan parti 1988.

“Banyak parti diketuai oleh tokoh besar namun asasnya tidak kukuh, akhirnya parti itu jadi kucar-kacir dan hancur,” katanya.

Pertembungan politik di kalangan keluarga juga bukan satu perkara baru, katanya.

Beliau juga memberi contoh beberapa tokoh politik yang bersaudara teteapi berseteru dalam parti berbeza seperti Tan Sri Shahrir Samad dan Khalid Samad.

Reezal mengulas laporan yang mendakwa Nazir telah memulakan inisiatif untuk menubuhkan sebuah parti politik bukan partisan yang baru.

Laporan portal Asia Sentinel menyebut, parti baru itu bertujuan untuk "melakar semula landskap politik negara" dan menamatkan politik perkauman.

Nazir, yang mengetuai Bank CIMB, dilaporkan telah menemui bekas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Saifuddin Abdullah, salah seorang daripada beberapa pemimpin Umno yang berfikiran liberal, untuk memimpin parti baru.

"Rakan-rakan Nazir telah menasihati beliau supaya menjadi penggerak utama, jika tidak ia tidak akan berhasil," lapor Asia Sentinel .

Nazir bagaimanapun menafikan bahawa beliau bercadang untuk menubuhkan satu parti politik yang baru.

"Saya merujuk laporan berita yang terbaru bahawa saya akan menubuhkan satu parti politik yang baru.

"Perkara itu tidak benar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Nazir yang juga pengerusi CIMB berkata beliau telah mengadakan perbincangan untuk menubuhkan sebuah NGO untuk membela kesederhanaan.

Lihat Komen
ADS