Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 50 peserta daripada beberapa NGO hari ini mengadakan pertemuan secara tertutup dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Bagaimanapun, tujuan pertemuan itu diadakan tidak dapat disahkan kerana para pemberita tidak dibenarkan membuat liputan berhubung pertemuan tersebut.

Sejak jam 3 petang lagi beberapa wartawan mula menunggu di luar bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana. Turut hadir NGO dari pelbagai tempat termasuk Kuala Kangsar, Perak.

Salah seorang peserta dari NGO yang hadir memberitahu wartawan bahawa pertemuan itu bermula sekitar jam 4.30 petang.

Katanya, kehadiran meraka bagi mendengar sendiri penjelasan bekas pemimpin negara itu mengenai isu semasa terutamanya melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini sebenarnya program biasa untuk bertemu dengan Tun (Dr Mahahtir). Cuma hari ini beramai-ramai sebab mereka nak dengar sendiri daripada mulut Tun," kata individu dari NGO itu ketika ditemui pemberita.

Dr Mahathir sebelum ini menyerang pentadbiran Najib dan mendesak beliau meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri terutamanya berkaitan isu hutang firma pelaburan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).  

Walaupun Najib turut membalas kritikan bekas pemimpin selama 22 tahun itu, namun Dr Mahathir meneruskan serangannya.  

Selain sering mempersoalkan wang berjumlah RM42 bilion, Dr Mahathir turut menyifatkan rundingan yang dibuat oleh 1MDB sebagai "kebodohan" syarikat itu apabila syarikat pelaburan tersebut terlebih bayar ketika membeli aset tenaga, walaupun lesennya hampir tamat.

Lihat Komen
ADS