Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Shah Alam meminta peguam Ram Karpal Singh menyerahkan dokumen diperlukan berkaitan pindaan pernyataan tuntutan kepada mahkamah sebelum Selasa depan, untuk dihantar kepada bekas polis elit Sirul Azhar Umar di Australia.

Hakim Suraya Othman mengingatkan bahawa terdapat prosedur perlu diikuti oleh Shaariibuu Setev, bapa kepada Altantuya Shaariibuu, dan dokumen itu tidak boleh diserahkan langsung kepada konsular Malaysia di Sydney.

“Kamu harus buat permohonan melalui Borang 10 daripada Kementerian Luar Negara untuk diserahkan melalui timbalan pendaftar di sini.

“Oleh kerana Malaysia tiada hubungan rasmi mahkamah dengan Australia, prosedur menghantar dokumen undang-undang ini harus diikuti,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa plaintif akan menanggung kos penyerahan dokumen itu.

Setev pada 2007 memfailkan saman RM100 juta terhadap Sirul, Azilah Hadri, penganalisis politik Razak Baginda, pihak polis dan kerajaan Malaysia susulan pembunuhan anaknya.

Sirul dan Azilah telah berdepan hukuman mati setelah disabitkan bersalah.

Sirul bagaimanapun kini ditahan oleh pihak imigresen Australia di negara itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membenarkan seorang peguam menarik diri daripada mewakili seorang daripada defendan dalam saman sivil yang dikemukakan keluarga Altantuya.

Hakim Suraya membenarkan permohonan Datuk Hazman Ahmad itu, yang sebelum ini mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes berkenaan, tanpa kos.

Lihat Komen
ADS