Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengusaha hotel di negeri Sabah digalakkan untuk meletakkan petunjuk arah kiblat yang tepat dan waktu solat di setiap bilik penginapan.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Kamarlin Ombi berkata kemudahan itu akan memudahkan pelancong beragama Islam menunaikan ibadah mereka terutamanya dari Semenanjung yang mempunyai waktu solat berbeza dengan negeri ini.

"Ada hotel yang menyediakan petunjuk arah kiblat tetapi ada kalanya ia kurang tepat.

“Telefon bimbit juga boleh menunjukkan arah kiblat tetapi jika ada aktiviti magnetik di kawasan sekitar ia juga sukar memberi petunjuk," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari sekitar Sepanggar, dekat Kota Kinabalu malam tadi.

Pada majlis itu, Mufti Negeri Sabah Datuk Ustaz Bungsu@Aziz Jaafar menyampaikan sijil pengesahan arah kiblat kepada Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Grand Borneo, Datuk Juany Salleh.

Kutipan derma untuk Tabung Bencana Gempa Bumi di Ranau turut diadakan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS