Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Kastam dan Kementerian Dalam Negeri hari ini diperintahkan supaya memulangkan lapan CD yang mengandungi kalimah 'Allah' kepada Jill Ireland.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, ketika membacakan penghakiman Mahkamah Rayuan, mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya CD itu dipulangkan kepada Ireland.

Mahkamah memerintahkan CD itu dipulangkan dalam tempoh satu bulan dari tarikh hari ini.

Beliau juga memerintahkan bahawa pengisytiharan yang dipohon oleh Ireland mengenai penggunaan kalimah 'Allah' didengar semula di Mahkamah Tinggi pada 2 Julai.  [Baca berita penuh/asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan  Tengku Maimun berkata surat bertarikh 7 Julai, 2008 yang ditandatangani oleh Pegawai Kanan Kastam, Suzanah Muin untuk merampas CD milik Jill itu adalah tidak baik dalam undang-undang dan adalah 'ultra vires' Seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

 
Beliau berkata Suzanah bukan merupakan orang yang dibayangkan oleh Parlimen sebagai orang kompeten yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah rampasan.
 
Dalam penghakiman yang diperoleh oleh media, menyatakan mahkamah memutuskan surat Suzanah tidak menyatakan bahawa beliau diarah oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar, untuk merampas CD tersebut.
 
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata beliau akan meminta arahan daripada Peguam Negara sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dan memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan itu.
 
Sementara itu, peguam Jill,  Lim Heng Seng, menyifatkan keputusan tersebut adalah baik untuk memulangkan CD itu selepas lapan tahun sambil berkata ia sudah pasti berita baik untuk rakyat Sarawak.  .

Lihat Komen
ADS