Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selain MARA Inc, Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini memantau dua lagi anak syarikatnya yang aktif menjalankan urusan perniagaan, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang MP Ketereh bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan tidak menamakan syarikat itu.

"Ada dua lagi syarikat kita yang aktif menjalankan urusan perniagaan Majlis MARA dan kita mengambil langkah proaktif untuk memantau mereka dan tidak biarkan mereka buat apa sahaja.

"Ada laporan mengenai syarikat terbabit dan telah dibentangkan kepada pihak Majlis," katanya dalam sidang media di ibu pejabat MARA hari ini.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama, ahli Parlimen Ketereh itu berkata, tindakan pihaknya yang kini melakukan pengauditan terhadap MARA Inc bertujuan bagi menjaga integriti majlis itu daripada tercemar.

Katanya, sebelum laporan The Age , pihaknya telah melakukan pengauditan terhadap MARA Inc dua bulan lepas.

Ia dilakukan selepas Annuar melakukan lawatan meninjau bangunan terbabit tahun lalu.

Namun, isu mengenai pembayaran lebih daripada nilai asal bagi blok apartmen di Melbourne itu merupakan perkara baru diketahui pihaknya.

"MARA Inc ini sebelum ia disiar oleh The Age kita dalam proses pengauditan oleh audit dalaman MARA yang dipengerusikan oleh pegawai dari SPRM.

"Laporan akhbar itu kita anggap sebagai informasi dan kita akan ambil tindakan lebih tegas dan mendalam," katanya.

Selain itu, ketika ditanya apakah bentuk tindakan akan diambil kepada pihak berkaitan pembelian Dudley International House itu, Annuar berkata ia akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Untuk ambil tindakan terhadap pegawai yang berkaitan kena tengok dari sudut undang-undang.

"Pihak kita akan teruskan pengauditan kerana ia bukan hanya tanggungjawab kerana adanya elemen rasuah atau unsur pecah amanah tetapi ia lebih untuk mengekalkan integriti MARA," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS