Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa memberi tempoh tujuh hari kepada anak syarikatnya MARA Inc untuk menjawab berhubung dakwaan skandal pembelian hartanah di Melbourne, Australia seperti yang dilapor media negara itu.

Beliau juga berkata MARA akan mengadakan mesyuarat khas bagi meneliti pembelian blok apartmen Dudley International House yang dijadikan asrama pelajar tajaan agensi kerajaan itu sepertimana yang dilapor akhbar The Age.

"Saya beri masa tujuh hari pada MARA Inc supaya beri jawapan bertulis terperinci tentang apa yang ditulis oleh The Age dan dalam masa 14 hari, kita akan panggil mesyuarat khas Majlis supaya meneliti secara lebih terperinci.

"MARA Inc kena kemukakan alasan bertulis dan ulasan mengenai perkara yang dibangkitkan. Dan seterusnya menentukan apa langkah yang perlu diambil," katanya lagi.

Akhbar Australia The Age mendakwa sekumpulan pegawai MARA yang amat kaya, menggunakan dana pelaburan kerajaan Malaysia, untuk membida harga blok apartmen itu daripada A$17.8 juta (RM51.5 juta) kepada A$22.5 juga (RM65 juta), dengan wang perbezaan itu didakwa dijadikan sebagai rasuah di tanair.

Mengulas lanjut, Annuar berkata laporan oleh The Age berhubung pembelian apartmen tersebut merupakan maklumat baru.

MP Ketereh juga berkata MARA kini sedang menjalankan penyiasatan audit terhadap anak syarikatnya itu untuk tindakan lanjut.

"Apa yang dibangkitkan dalam The Age berkaitan pembelian terlebih bayar ini merupakan sesuatu di luar daripada pengetahuan  kita sehingga masa ini.

"Dalam pengetahuan kita, untuk masa ini nilai oleh penilai antarabangsa jauh lebih tinggi dan kita membelinya dengan harga yang rendah.

"Dan di luar pengetahuan kami sekiranya nilainya ialah A$17.8 juta (RM51.5 juta) yang mana perkara ini akan disiasat," katanya.

Lihat Komen
ADS