Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahmad: Pemilihan Umno hanya selepas PRU14
Diterbitkan:  Jun 28, 2015 10:44 AM
Dikemaskini: 2:47 AM

Pemilihan Umno hanya akan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dalam usaha parti itu dalam memantapkan parti itu sekali gus menumpukan lebih perhatian kepada kepentingan rakyat secara umumnya.

    

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata perkara itu perlu difahami oleh kepimpinan Umno dari semua  peringkat tidak kira dari cawangan, bahagian, negeri mahupun pusat.

    

"Tujuan utama kita (membuat keputusan itu) adalah untuk menumpukan khidmat sepenuhnya kepada rakyat dan bukan kepada usaha merebut jawatan.

    

"Yang kedua, untuk mengelakkan perpecahan (sesama anggota Umno) terutama sebelum menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata beliau kepada pemberita selepas program 'Bersama Sehelai baju.com Buat Menyapu Si Air Mata 2015' di Masjid Jamek Parit Ibrahim, Pontian Besar, malam tadi.

    

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada keputusan Majlis Tertinggi UMNO menunda pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun hadapan, kepada 18 bulan dari tahun hadapan, boleh berubah sekiranya ada permintaan daripada anggota-anggota Umno.

"Pemimpin yang ada sekarang ini terutamanya di cawangan dan bahagian, mereka telah dipilih sebelum ini, jadi mereka  patut diberi masa untuk menjalankan tugas mereka dan saya kira tempoh yang sedia ada adalah baik untuk mereka memastikan amanah yang diberikan kepada mereka itu boleh dilaksanakan sebaik mungkin," kata Ahmad.

    

Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian itu berkata penangguhan itu bukan bermaksud parti itu mengekang demokrasi, tetapi menangguhkan pemilihan untuk kebaikan yang lebih besar dan dalam masa yang sama mengelakkan sebarang kemudaratan dalam parti.

    

"Perkara (penangguhan) ini sudah biasa. Kita dah buat zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, diikuti dengan Tun Abdullah Badawi dan sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia bukan satu perkara yang baru," kata beliau.

    

Ahmad berkata keputusan itu dibuat secara konsensus termasuk sokongan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bersetuju supaya tidak ada pertandingan pada semua peringkat tahun hadapan dan bagi tempoh 18 bulan selepas itu.

    

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata keutamaan sekarang adalah bagi Barisan Nasional (BN) memenangi PRU14 sekali gus meneruskan kelangsungan parti.

    

Terdahulu, Ahmad menyampaikan sumbangan baju raya kepada 70 anak yatim dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Pontian Besar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perhentian.

    

-Bernama

Lihat Komen
ADS