Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat terapung mungkin diserang buaya
Diterbitkan:  Jun 30, 2015 4:36 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Mayat seorang lelaki tanpa tangan dan kaki dipercayai dibaham buaya ditemukan terapung di Sungai Paitan di Kampung Kabuluh di Beluran.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Sivanathan Velautham berkata mangsa dikenali sebagai Ramsah Alau, 57, dan mayatnya ditemukan pada kira-kira 7.40 pagi oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya semalam anak perempuan mangsa melaporkan bapanya keluar rumah pada pukul 9 pagi semalam untuk menebas rumput di kawasan kebun berhampiran rumah lama mereka di kampung itu.

Bagaimanapun, katanya sehingga pukul 3 petang, mangsa belum balik ke rumah dan anak perempuan itu meminta bantuan penduduk kampung mencari bapanya.

Katanya penduduk kampung kemudian menemukan selipar berwarna biru dan topi putih milik Ramsah di tebing sungai berhampiran kebunnya.

Sivanathan berkata pada pukul 5.35 petang, pihaknya telah dimaklumkan oleh dua penduduk kampung bahawa mereka ada ternampak seekor buaya yang timbul dan mengigit sesuatu objek seperti manusia berpakaian putih kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.

Beliau berkata susulan itu operasi mencari dilancarkan hari ini melibatkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.

Katanya polis telah menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengambil langkah keselamatan berikutan insiden serangan buaya itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS