Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan Palanivel didengar 13 Julai
Diterbitkan:  Jun 30, 2015 4:49 PM
Dikemaskini: 8:53 AM

Rayuan dikemukakan Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan tiga yang lain terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengekalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi parti itu mengadakan pemilihan baharu akan didengar pada 13 Julai.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini semasa kes itu dibentangkan bagi pengurusan kes.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, yang mewakili RoS memberitahu pemberita, mahkamah memerintahkan pihak-pihak berkenaan memfailkan hujahan bertulis sebelum 7 Julai.

Palanivel, dua naib presiden MIC Datuk S Sothinathan dan Datuk S Balakrishnan, dan bekas setiausaha agung MIC A. Prakash Rao memfailkan rayuan itu pada 16 Jun.

Sehari sebelum itu pada 15 Jun, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman dan memutuskan RoS hanya memberikan pendapatnya bahawa parti itu perlu menyelesaikan pertikaiannya.

Beliau berkata sebenarnya Palanivel yang mencadangkan pemilihan baharu diadakan bagi menyelesaikan konflik dalaman parti itu.

Asmabi merujuk kepada surat Palanivel bertarikh 5 Feb, 2015, yang beliau telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah parti dengan mengadakan pemilihan baharu di semua cawangan dan bahagian, termasuk jawatan presiden.

Pada 24 Feb, Palanivel, Sothinathan, Balakrishnan, dan Prakash Rao memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan arahan RoS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS