Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat untuk gelandangan mula dibina
Diterbitkan:  Jun 30, 2015 5:46 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Kerja pembinaan dua pusat perlindungan gelandangan di ibu negara telah bermula sejak Februari lepas, manakala satu lagi masih dalam proses pengambilan tanah.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata pusat perlindungan di Jalan Sultan Ismail, kini dalam kerja-kerja akhir pembinaan sebelum ia mula beroperasi sebagai pusat agihan makanan pada awal Julai ini.

"Pusat ini sudah pun hampir siap dan pada masa kini DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sedang menyiapkan kerja-kerja akhir termasuk penyediaan tangki septik, pengisian dan susun atur perabot serta pemasangan utiliti," katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Katanya pusat perlindungan gelandangan di Jalan Pahang, yang dibangunkan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) di bawah tanggungjawab korporat sosial (CSR), kini sudah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 57 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Disember tahun ini.

Beliau berkata antara komponen yang disusun dalam penempatan tersebut termasuk kemudahan bilik menginap bagi pelbagai golongan, tempat agihan dan pemberian makanan, bilik air dan ruang solat.

Loga Bala berkata pusat berkenaan dijangka mampu menempatkan sejumlah 250 orang gelandangan pada satu-satu masa.

Operasi pusat tersebut juga akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang berkaitan, katanya.

"Kami masih menyiapkan garis panduan mengenai masa yang ditetapkan untuk mereka menghuni tempat ini dan pengasingan bagi lelaki, perempuan, kanak-kanak dan keluarga," katanya.

Bagi pembangunan pusat perlindungan gelandangan di Jalan Chow Kit, beliau berkata DBKL sedang dalam proses pengambilan balik tanah dan ia dijangka dijadikan kemudahan penginapan bagi golongan gelandangan terutama wanita dan kanak-kanak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS