Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini memberi respons kepada pelbagai tuduhan terhadap syarikat itu susulan soalan sama dibangkitkan dan dakwaan dananya 'hilang' atau 'tidak dapat dikesan'.

Dalam kenyataan, 1MDB menegaskan kedudukan yang dinyatakan sebelum ini, bahawa jika terdapat mana-mana salah laku, maka tindakan perlu diambil oleh pihak berkuasa yang sah, mengikut proses dan undang-undang negara.

Ia juga berkata syarikat terus komited untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya.

Dengan merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, 1MDB berkata, bekas Perdana Menteri itu terus mengulangi soalan sama dan tuduhan tidak berasas bahawa dana 1MDB 'hilang' atau 'tidak dapat dikesan', tanpa memberikan sebarang bukti.

Katanya tuduhan masih dibuat walaupun penjelasan telah diberikan oleh 1MDB dan hakikat bahawa KPMG dan Deloitte berpegang teguh kepada keputusan audit mereka pada prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini, dan siasatan yang sedang dijalankan terhadap perkara ini oleh pihak berkuasa yang sah.

1MDB berkata tuduhan dan kenyataan yang mengelirukan oleh Dr Mahathir dan beberapa ahli politik pembangkang ternyata memberi kesan kepada keupayaan 1MDB, syarikat milik penuh kerajaan, untuk terus menjalankan perniagaannya dan menyebabkan kerosakan kepada ekonomi yang lebih luas.

Selain itu, tuduhan sedemikian memberi kesan negatif kepada pelaksanaan pelan rasionalisasi 1MDB yang diumumkan pada 29 Mei, 2015, yang bertujuan mengurangkan paras hutangnya dan memastikan nilai maksimum dijana untuk kerajaan.

Kenyataan itu menegaskan bahawa 1MDB merupakan subjek kepada siasatan yang sedang dijalankan oleh PAC -- jawatankuasa Parlimen dwipartisan.

"PAC merupakan pihak berkuasa yang sah untuk mengesahkan sama ada RM42 bilion telah 'hilang' daripada 1MDB, berikutan ia mempunyai akses kepada semua maklumat. 1MDB percaya anggota PAC akan meneliti secara khusus kepada dakwaan ini dan memberi keputusan mereka untuk menyelesaikan perkara ini dengan muktamad," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS