Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
73 mayat mangsa nahas Hercules TNI ditemui
Diterbitkan:  Jul 1, 2015 5:00 AM
Dikemaskini: 10:56 PM

Sebanyak 73 mayat mangsa nahas pesawat Hercules milik Tentera Nasional Indonesia Angkatan Udara (TNI AU) yang terhempas di Medan, Sumatera Utara, tengah hari semalam telah ditemui dan dibawa ke Rumah Sakit Adam Malik di Kota Medan.

Menurut siaran berita televisyen Metronews, daripada jumlah itu setakat ini pihak berkuasa mengesahkan terdapat 39 mayat lelaki dan 24 wanita manakala selebihnya masih belum dikenal pasti.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mencari mangsa yang dipercayai masih berada di bawah runtuhan bangunan dan bangkai pesawat.

Sementara itu, Kepala Staf Angkatan Udara (KSAU), Marshal Agus Supriyatna dipetik sebagai berkata, masalah teknikal dipercayai punca pesawat Hercules C-130 itu terhempas di Jalan Jamin Ginting, di Kota Medan.

Katanya, sebelum pesawat itu terhempas, juruterbang pesawat telah menghubungi pangkalan udara dan meminta kebenaran untuk berpatah balik.

"Juruterbang sempat meminta untuk berpatah balik ke pangkalan. Dalam kondisi itu, biasanya ada masalah sama pesawat. Kemungkinan persoalan mesin," katanya.

Pesawat Hercules A-1310 itu terhempas di Jalan Jamin Ginting, Medan dan merempuh beberapa bangunan rumah kedai dan pusat rawatan tradisional.

Pesawat yang membawa 113 penumpang termasuk 12 anggota tentera itu berlepas dari Pangkalan Udara Soewondo menuju ke Kepulauan Riau sebelum terhempas kira-kira dua minit sebaik berlepas.

Presiden Republik Indonesia Joko Widodo dipetik oleh siaran televisyen sebagai berkata kerajaan telah mengarahkan supaya semua pesawat jenis Hercules diaudit secara keseluruhan bagi memastikan ia selamat untuk digunakan.

Katanya, buat masa ini keutamaan ialah memberi tumpuan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Indonesia

Dalam laman twitter beliau malam tadi, Hishammuddin menzahirkan ucapan takziah dan dukacita yang mendalam kepada Pak Ryamizard (Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard Ryacudu, TNI (Tentera Nasional Indonesia) dan rakyat Indonesia atas tragedi C130 di Medan."

"Saya telah berhubung dengan Pak Ryamizard untuk menyampaikan takziah, kami turut berasa sedih bersama seluruh rakyat Indonesia,' katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS