Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Isu berkaitan mualaf seperti penukaran nama dan nama yang perlu 'dibin Abdullah' akan dikupas dalam sebuah forum anjuran NGO Hidayah Centre Foundation (HCF).

Forum yang diadakan bersempena Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre itu akan dikupas oleh ahli panel antaranya Presiden Multaqa Asatizah dan Du'at (MURSHID) Dr Zaharuddin Abd Rahman serta tokoh pendakwah Muhammad Fitri Abdullah yang juga seorang mualaf.

Menurut Pengerusi HCF, Nicholas Sylvester, forum yang diberi tajuk “Islam Agama Rahmah” itu diadakan bagi memberi penerangan secara terperinci kepada kira-kira 400 orang mualaf yang akan hadir pada majlis iftar tersebut.

Katanya, sesi forum itu penting kerana pelbagai pihak berpeluang untuk menjiwai masalah saudara baru pada masa kini.

"Panel kita akan kupas isu kontemporari yang sangat penting dalam kalangan masyarakat saudara baru.

“Kita akan kupas isu-isu seperti isu tukar nama, bin Abdullah, isu masuk Islam atau masuk Melayu dan isu-isu lain," katanya pada sidang di ibu pejabat HCF.

Selain itu, Nicholas memberitahu, pada majlis iftar perdana yang bertemakan “Journey to Jannah” (perjalanan ke syurga) itu akan turut diadakan majlis pengislaman dua orang saudara baru.

Saudara baru dari Brazil

Salah seorang saudara baru itu merupakan warganegara Brazil yang datang ke Malaysia semata-mata untuk diislamkan oleh HCF, katanya.

"Saudara baru adalah amanah Allah kepada kita yang perlu kita alu-alukan penghijrahan mereka dari kegelapan kepada cahaya.

"Yang dari Brazil itu memang datang semata-mata untuk masuk Islam di Malaysia. Dia tahu tentang perkara ini daripada laman web kita," ujar Nicholas.

Malah,beliau berkata pihaknya juga menjemput beberapa persatuan agama seperti persatuan Buddha dan Kristian untuk bersama-sama menyertai majlis iftar perdana itu.

Artis terkenal Faizal Tahir juga dijangka akan memeriahkan majlis berbuka puasa yang akan diadakaan di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM pada 4 Julai ini.

HCF merupakan sebuah NGO yang fokus dalam aktiviti menguruskan kebajikan saudara baru dari aspek pengislaman, bimbingan agama, sokongan, bantuan kewangan serta khidmat kaunseling.

Lihat Komen
ADS