Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mural Tunku Abdul Rahman pula di Alor Setar
Diterbitkan:  Jul 1, 2015 3:53 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

Setelah mural Tun Dr Mahathir Mohamad diterap pada dinding bangunan di Pekan Melayu di Alor Setar, kini mural perdana menteri pertama Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra pula diabadikan di pekan tersebut.

Ia dilakar oleh pelukis dari Medium Touch, Zulfadli Ahmad Nawawai, 29, yang menggunakan elemen hitam putih bagi membolehkan orang ramai memahami perjuangan Tunku yang bersusah payah untuk mendapatkan kemerdekaan bagi negara.

"Ia menceritakan mengenai kemerdekaan negara. Ia turut menceritakan gambaran  di Stadium Merdeka semasa acara pengisytiharan kemerdekaan dibuat oleh Tunku," katanya kepada Bernama.

Zulfadli yang memulakan karier melukis mural sejak 2005 dibantu dua pelukis lain yang mula melakar mural Tunku Abdul Rahman sebesar 8x8 meter itu bermula Ahad lepas sebelum siap semalam.

Ketua Biro Belia Cina Kerajaan Negeri Kedah, Tan Chee Hiong berkata projek yang dianjurkan biro tersebut serta mendapat kerjasama kerajaan negeri, merupakan projek komuniti untuk mempromosi tokoh dari negeri Kedah selain bertujuan menerap semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata ia juga dilaksanakan sempena Tahun Melawat Kedah 2016 bagi menarik pelancong terutama ke Pekan Melayu dan Pekan Cina.

Pihaknya juga merancang untuk melakarkan beberapa lagi mural, katanya.

Sebelum ini biro tersebut telah menghasilkan mural mengenai aktiviti masyarakat di Pekan Cina dan Melayu pada dinding sebuah bangunan di Pekan Cina.

- Bernama

Lihat Komen
ADS