Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ILMU: PAS sepatutnya lebih kuat tanpa Pakatan
Diterbitkan:  Jul 2, 2015 5:11 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

PAS sepatutnya menjadi lebih kuat tanpa Pakatan Rakyat, yang dilihat menjadi 'barah' kepada parti itu selama ini, demikian menurut seorang pemerhati politik.

Setiausaha Agung Himpunan Ulama Muda Malaysia (iLMU) Ahmad Fazrin Yahya berkata selama ini di bawah Pakatan, pendirian PAS sering dilihat tidak konsisten dan berubah-ubah mengikut kehendak rakan sekutunya.

"Kita boleh teliti kembali pendirian-pendirian PAS yang tidak konsisten dalam banyak isu sejak mereka bersama pakatan bahkan ia menjadi modal dalam perbahasan ketika muktamar PAS baru-baru ini," katanya kepada Bernama.

Beliau merujuk kepimpinan ulama yang mendominasi barisan pucuk pimpinan PAS yang baharu bagi sesi 2015-2017 dan senario terkini 'perpecahan' yang berlaku dalam Pakatan.

Pada 5 Jun, Muktamar Tahunan PAS ke-61 menerima tanpa bahas usul Dewan Ulama yang mahu parti memutuskan hubungan dengan DAP manakala Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 16 Jun mengisytiharkan bahawa Pakatan tidak lagi wujud.

Guan Eng berkata keputusan muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah 'membunuh' pakatan itu. Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada keesokan hari mengakui PR tidak lagi berfungsi secara formal.

Ahmad Fazrin berkata penguasaan kembali kepimpinan ulama dalam semua jawatan tertinggi parti mampu menjadikan PAS kekal relevan dalam pentas politik tanah air.

Beliau berkata pandangan pihak tertentu kononnya tanpa dokongan kumpulan profesional kepada PAS akan menjadikan parti itu mundur hanyalah persepsi bagi mematahkan semangat pemimpin parti.

"Bahkan jika mereka kata PAS telah kehilangan kepimpinan profesional, pada saya itu keterlaluan. Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ialah seorang profesional dan juga seorang ulama," katanya.

Ahmad Fazrin berkata daripada sudut kaca mata iLMU pula, pihaknya gembira dengan perkembangan yang menyaksikan kumpulan ulama menyapu bersih jawatan dipertandingkan.

Dalam pemilihan PAS, majoriti 1,189 perwakilan memberikan mandat kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menerajui kepimpinan parti sekaligus menjadi presiden paling lama dalam sejarah PAS iaitu 15 tahun memimpin.

Beliau digandingkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai timbalan presiden, Mohd Amar, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad, sebagai naib presiden yang juga daripada golongan ulama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS