Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan mengenai rombakan kabinet hanya boleh ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, beliau meminta supaya sebarang pertanyaan mengenai rombakan kabinet perlu diajukan kepada Najib dan bukan dirinya.

"Kabinet hanya boleh ditentukan oleh perdana menteri dan kamu bukan sedang bercakap dengan perdana menteri.

"(Soalan mengenai) rombakan kabinet atau mengenai (kedudukan Datuk Seri G) Palanivel lebih baik tanya kepada Najib," katanya sambil ketawa di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam ura-ura rombakan kabinet, Palanivel dispekulasi akan disingkir keluar daripada kabinet setelah terpalit dalam kemelut kepimpinan MIC dengan Datuk Seri Dr S Subramaniam yang mengaku pemangku presiden MIC.

Palanivel pula menegaskan beliau masih presiden parti India itu.

Sementara itu, pada sidang media sama, naib presiden Umno itu memberitahu bahawa penangguhan pemilihan Umno bukan perkara baru dan difahami akar umbinya.

"Ya (akan umbi faham). Saya rasa ia bukan sesuatu yang baru. Ia pernah dilakukan banyak kali semasa zaman Tun (Mahathir Mohamad) dan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi).

"Saya tak tahu kenapa perkara ini menjadi begitu hangat kerana ia bukan sesuatu yang baru," katanya.

Menurut ahli parlimen Sembrong itu lagi, tujuan penangguhan pemilihan itu juga dibuat bagi memberi peluang kepada Majlis Tertinggi Umno memberi perhatian khusus terhadap parti.

"Kita mahu fokus pada parti. Kita mahu parti yang lebih kukuh dan memandang ke hadapan demi transformasi yang lebih konstruktif," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS