Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Hussein meminta supaya pihak yang bertanggungjawab berhubung nahas MH17 dibawa ke muka pengadilan.

Berbeza seperti kehilangan pesawat MH370, Hishammuddin berkata terdapat bukti yang cukup untuk menegakkan keadilan berhubung nahas itu memandangkan kotak hitam pesawat MH17 ditemui.

Selain itu, Hishammuddin berkata, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut memberitahunya bahawa laporan akhir mengenai nahas tersebut akan dikeluarkan tidak lama lagi.

"Kita perlu cari kebenaran (pesawat MH17). Saya bukan sahaja terlibat semasa (kehilangan) MH370 menjadi pemangku menteri, tetapi nenek saya juga berada dalam pesawat itu (MH17).

"Jadi, saya mahukan keadilan. Saya mahu tahu siapa yang bersalah.

"Bukan seperti MH370, kita tak jumpa pesawat itu. Kita dapat kotak hitam dan ada bukti cukup. Tetapi Liow beritahu saya yang laporan akhir nahas MH17 akan dikeluarkan tak lama lagi.

"Bukan saya seorang sahaja yang tidak sabar untuk laporan itu. Saya mahu keadilan untuk MH17," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Setahun berlalu

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita sempena setahun nahas MH17 pada 17 Julai ini.

"Saya harap geopolitik tidak akan menghalang keadilan. Malaysia akan membuat pendirian dalam kes ini. Ini pesawat kita, penumpang kita dan orang yang tersayang (di dalam pesawat) ditembak jatuh.

"Letak tepi dulu tentang geopolitik, kita mesti memastikan suara kita didengari," katanya lagi.

Pada 17 Julai tahun lalu, pesawat MAS MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Nahas itu menyebabkan seramai 298 individu terkorban.

Selain Malaysia, nahas itu turut melibatkan mangsa dari Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Lihat Komen
ADS