Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Polis Negara Thailand, Chaktip Chaijinda bagi membincangkan kebenaran menyoal siasat bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Justo yang kini ditahan di negara itu.

Khalid berkata perjumpaan itu diadakan semalam, tetapi enggan mengumumkan butiran perbincangan itu.

"Saya telah berjumpa dengan beliau dan bertukar-tukar maklumat dan risikan berhubung isu terbabit, tetapi saya tidak bersedia untuk mendedahkan apa yang kami bincangkan kepada umum," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Tergempar Peringkat Menteri-Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan Berkaitan Pergerakan Migran Tidak Sah di Rantau Asia Tenggara di sini, Khamis.

Pada 24 Jun lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan warga Switzerland itu atas tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa e-mel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report , sebuah blog bermotifkan politik sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

- Bernama

Lihat Komen
ADS