Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada keperluan tentera awasi Pulau Pom Pom
Diterbitkan:  Jul 3, 2015 6:45 AM
Dikemaskini: Jul 3, 2015 8:42 AM

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak bercadang menempatkan anggotanya bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah berikutan insiden tembakan pihak tidak dikenali ke arah pos kawalan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Selasa lepas.

Panglima ATM Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

"Saya difahamkan berlaku tembak menembak dan pihak polis berjaya menahan seorang suspek dan merampas bot tersebut (bot penjenayah)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga ATM di Masjid Khalid Al-Walid, di ibunegara malam tadi.

Zulkifeli berkata kejayaan tangkapan tersebut membuktikan bahawa kawalan keselamatan negara berada pada tahap yang baik apabila dapat memintas semula bot penjenayah.

Dalam kejadian pada jam 3 pagi itu, anggota di sebuah pos kawalan pada mulanya dilapor mendengar bunyi enjin bot menghampiri pulau itu, dan apabila anggota PGA menyuluh ke arah bot berkenaan, mereka mendengar dua das tembakan dilepaskan ke arah mereka.

Situasi tersebut mendorong pihak PGA membalas tembakan sehingga menyebabkan pihak terbabit melarikan diri dalam keadaan gelap.

- Bernama

Lihat Komen
ADS