Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Demi menjamin kualiti perkhidmatan kepada penumpang yang ingin pulang ke kampung Aidilfitri ini, tiga syarikat operator bas ekspres tidak menyediakan bas tambahan untuk perjalanan pulang ke utara, selatan dan pantai timur.

Tiada permohonan dibuat biarpun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini mengumumkan telah membuka permohonan Lesen Perbaharuan Sementara bagi kira-kira 400 bas tambahan untuk menampung keperluan musim perayaan yang bakal menjelang tiba.

Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express, Abu Bakar Mohammad berkata, jualan tiket syarikat berkenaan untuk perjalanan dari Terminal Bas Bersepadu (TBS) di sini ke Alor Setar, Kangar, Kuala Perlis dari 13 sehingga 16 Julai telah habis dijual sepenuhnya namun tiada penambahan  bas ke destinasi itu.

"Sani Express tidak ada menyediakan bas tambahan demi memastikan keselesaan dan keselamatan penumpang kami terjamin dan hal ini sukar dikawal jika kami menggunakan bas tambahan yang bukan milik syarikat kami," katanya kepada Bernama, di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Konsortium Bas Ekspres Semenanjung, SK Law berkata, syarikat mereka tidak menyediakan bas tambahan yang bukan daripada syarikat milik mereka kerana khuatir perkhidmatan yang akan diterima penumpang akan terjejas dan tidak memenuhi standard.

"Bagi kami keselesaan dan keselamatan penumpang adalah keutamaan, dan kami tidak berani mengambil risiko menggunakan bas tambahan yang dibekalkan demi menjaga kualiti perkhidmatan," katanya.

Pendapat ini turut disokong Ketua Operasi Perniagaan, Konsortium Transnasional Berhad, Mohd Kamal Muda yang turut tidak menyediakan bas tambahan. 

"Walaupun kami tidak menyediakan bas tambahan, kami akan menambah perjalanan tambahan sebanyak 10 peratus daripada perjalanan biasa iaitu pada 14, 15 dan 16 Julai dan  menyusun jadual kerja pemandu untuk melancarkan perkhidmatan," kata Mohd Kamal.

Konsortium Transnasional menawarkan tiga perkhidmatan bas ekspres iaitu Transnasional, Plusliner dan Nice dan syarikat tersebut memiliki 400 buah bas. 

Baru-baru ini Bernama melaporkan TBS akan menyediakan antara 250 sehingga 300 buah bas tambahan memandangkan sebanyak 120,000 keping tiket bas telah dijual bagi semua laluan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS