Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA: Penafian saja tak membantu
Diterbitkan:  Jul 3, 2015 6:31 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

Pemuda MCA menggesa 1MDB supaya memberikan maklumat dan penjelasan terperinci bagi menjawab dakwaan terbaru yang terkandung dalam laporan Wall Street Journal (WSJ).

"Maklumat yang terkandung dalam artikel WSJ adalah amat serius. Apabila sebuah penerbitan terkemuka antarabangsa menyiarkan butiran seperti itu dalam laporannya, 1MDB tidak sepatutnya hanya memberi kenyataan mudah menafikan dakwaan tersebut," kata Ketuanya, Chong Sing Woon dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan menyediakan maklumat dan penjelasan terperinci, katanya, ia akan dapat mengurangkan rasa syak wasangka orang ramai.

Pada masa yang sama, beliau juga menggesa WSJ supaya memberikan bukti yang kukuh berhubung laporan tersebut, di samping mendesak 1MDB, yang dananya didakwa disalurkan ke dalam tabung peribadi Najib, supaya menjawab lebih daripada hanya penafian mudah mengenai isu itu.

Laporan WSJ memetik penyiasat Malaysia yang tidak dinamakan sebagai mendakwa AS$700 juta dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun bank yang dipercayai milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Manakala 1MBD menafikan laporan itu, Pejabat Perdana Menteri pula berkata ia adalah kesinambungan daripada usaha untuk mensabotaj politik Najib.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Salleh Said Keruak berkata laporan WSJ dan Sarawak Report itu boleh dipersoalkan, kerana kebenaran 

laporan mengenai 1MDB sebelum ini pun, dengan memetik dokumen yang bocor, masih belum disahkan.

Menurutnya, tidak perlu teruja kerana pendedahan itu mungkin akhirnya didapati tidak benar.

Menulis dalam blognya hari ini, Salleh berkata kita sebenarnya tidak tahu 'penyiasat' atau 'penyiasat Malaysia' yang mana yang dirujuk oleh Sarawak Report dan Wall Street Journal dan sama ada, laporan itu juga tepat.

Salleh turut berkongsi bagaimana pada tahun 1999, senarai butiran akaun bank yang didakwa dimiliki bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, keluarga mereka, dan rakan terdekat mereka, telah didedahkan.

Katanya, semakan lanjut bagaimanapun bukan sahaja mendapati akaun-akaun bank itu tidak wujud tetapi juga bank Israel yang dinamakan adalah rekaan juga. Jadi, bank itu pun tak wujud," katanya.

[Baca berita penuh/asal]



 
 

Lihat Komen
ADS