Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peraturan JPJ ikat jualan plat Patriot YPN
Diterbitkan:  Jul 3, 2015 9:13 PM
Dikemaskini: 1:19 PM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan akan membatalkan kerjasama dengan Yayasan Patriot Negara (YPN) jika pertubuhan itu melanggar syarat dipersetujui berhubung penjualan nombor plat Patriot.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, kegagalan mematuhi syarat ditetapkan akan menyebabkan kelulusan dan kerjasama diberi, ditamatkan serta-merta.

"Di samping itu, JPJ berhak menentukan terma dan syarat tambahan.

"Berhubung perkara ini, JPJ akan mengeluarkan arahan kepada YPN untuk menghasilkan laporan terperinci mengenai kaedah penyaluran kepada program patriotik atau khidmat sosial hasil daripada penjualan plat Patriot ini," katanya.

Dalam kenyataan itu JPJ menjelaskan pendaftaran nombor pendaftaran khas dikendalikan pihak ketiga bukan sesuatu yang baru di Malaysia.

Begitu juga kelulusan yang telah diberikan kepada Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) untuk program nombor plat kenderaan Patriot yang diberi kepada YPN selepas melalui proses permohonan ditetapkan.

Kata Ismail, YPN telah mengemukakan permohonan sejak lebih dari setahun lalu.

Di samping itu, katanya, nombor plat pendaftaran itu tertakluk kepada terma dan syarat khusus, iaitu:

1. Hanya nombor 1 sehingga 9999 boleh digunakan

2. Bayaran berjumlah RM1 juta perlu dibuat kepada kerajaan Malaysia dan tidak tertakluk kepada jumlah penjualan nombor plat oleh YPN

3. Pembayaran sebanyak 50 peratus daripada jumlah RM1 juta tersebut harus dijelaskan sebelum pendaftaran bermula dengan bakinya harus dibayar genap enam bulan dari tarikh pendaftaran

4. YPN hanya diberikan satu tahun (Januari hingga Disember 2015) untuk melaksanakan proses bidaan dan jualan nombor plat

5. Setiap nombor plat hanya boleh ditawarkan kepada seorang individual sahaja untuk mengelakkan sebarang pertindihan

6. Maklumat pembeli nombor pendaftaran khas (PATRIOT 1 – PATRIOT 9999) perlu dikemukakan kepada JPJ bagi tujuan rekod

7. Spesifikasi bagi nombor pendaftaran khas PATRIOT mesti menepati peruntukan di bawah Kaedah-kaedah Pendaftaran Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan 1959)

Di samping itu, kata Ismail, tiada jaminan diberikan ke atas jualan semua nombor plat tersebut dan jumlah yang bakal diperolehi daripada penjualan nombor berkenaan.

"Angka yang diuar-uarkan oleh YPN adalah sekadar ramalan yayasan itu saja. Kami ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak menjamin sebarang keuntungan bagi YPN," katanya.

Lebih penting lagi, menurut Ismail, program pendaftaran nombor plat Patriot diluluskan dengan tujuan memupuk semangat patriotisme di kalangan belia Malaysia dan juga sebagai usaha khidmat sosial.

Lihat Komen
ADS