Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan ketiga 24 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya dari Myanmar yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian selamat dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang Pokok Sena awal pagi ini.

 

Pengebumian kesemua jenazah terbabit, 23 lelaki dan satu tidak diketahui jantinanya bermula pada 12 tengah malam dan hanya selesai kira-kira 3 pagi tadi.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) Datuk Noh Dahya,  pengebumian 24 jenazah hari ini membawa bilangan keseluruhan jenazah mangsa  pemerdagangan manusia yang telah selamat dikebumikan setakat ini kepada 75 daripada 106 jenazah keseluruhan.

"Baki 31 lagi jenazah yang masih ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah bagi proses bedah siasat berkemungkinan akan dikebumikan Ahad ini dan selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas meninjau pengebumian itu hari ini.

Kumpulan pertama 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia yang ditemui di Wang Kelian itu telah dikebumikan pada 21 Jun lepas, diikuti oleh kumpulan kedua sebanyak 30 jenazah mangsa jenayah itu beberapa hari selepas itu.  

Sehingga awal hari ini, daripada 75 jenazah mangsa yang telah selamat dikebumikan, empat daripadanya adalah jenazah wanita manakala lain-lain adalah jenazah lelaki, kata Noh.

"Kebanyakan jenazah yang dikebumikan hanya tinggal tulang-tulang sahaja dan sedikit cebisan daging," menurut beliau dan menambah, jenazah lelaki dan wanita dikebumikan di liang lahad berasingan.

Ditanya tentang punca kematian mangsa-mangsa itu, beliau berkata, berdasarkan laporan secara lisan yang diterimanya daripada pasukan forensik yang melakukan proses bedah siasat terhadap mangsa mengatakan ia akibat kebuluran dan bukan akibat didera atau diseksa.

Bagaimanapun, tindakan mengurung mangsa tanpa memberi sebarang makanan atau minuman juga merupakan suatu bentuk pembunuhan dan penyeksaan, katanya.

Turut menghadiri pengebumian jenazah mangsa pemerdagangan manusia hari ini adalah Timbalan Pengerusi Rohingya Society Malaysia Kedah (RSM) Yusof Ali.

Pengebumian jenazah-jenazah mangsa pemerdagangan manusia Wang Kelian itu diuruskan oleh kakitangan JAIK, Polis, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kerja Raya, Majlis Keselamatan Negara serta penduduk-penduduk Kampung Tualang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS