Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK bidas reaksi Khairy, Rahman
Diterbitkan:  Jul 6, 2015 11:57 AM
Dikemaskini: 8:30 AM

Pemuda PKR membidas dua menteri kabinet muda Umno yang bermati-matian mempertahankan Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa bahawa sejumlah RM2.67 bilion telah disalurkan ke akaun perdana menteri.

Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Rahman Dahlan sebagai menggambarkan kekhuatiran mengenai kedudukan politik mereka dan bukannya maslahat rakyat.

"Reaksi mereka yang bulat-bulat menolak pendedahan tersebut nampak lebih aneh lagi apabila pimpinan Umno yang lebih kanan seperti Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri) Muhyiddin Yasin dengan tenang dan lebih logik menggesa agar isu ini disiasat secara serius.

 

"Reputasi mereka kononnya "terbuka", namun jelas mereka bukanlah jenis pimpinan bagi disandarkan harapan oleh anak-anak muda yang mahukan perubahan," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, kedua-dua menteri Umno itu antara pemimpin yang mempertahankan Najib berhubung dakwaan laporan Wall Street Journal itu.

Khairy memberi teguran , bahawa tidak wajar untuk sesiapa menggelar semua ahli politik yang kaya sebagai pengamal rasuah dan menyokong Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap media antarabangsa itu.

Manakala Rahman pula mempertahankan Najib daripada ejekan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil bahawa “Bugis warrior” (pahlawan Bugis) sudah jadi Bugis worrier (orang Bugis yang bimbang).

Nik Nazmi yang juga exco Selangor mendesak agar penyalahgunanaan kuasa dan pengkhianatan amanah rakyat yang didakwa dilakukan oleh Umno/BN dihentikan dan mahu isu tersebut disiasat serta merta.

"Sebarang salahlaku mestilah dihukum. Rakyat Malaysia tidak sahaja memerlukan kerajaan baru yang dipilih secara demokrasi, tetapi juga reformasi institusi kerajaan.

"Amanah dan wang rakyat tidak boleh disalahguna sepertimana selama ini. AMK bersedia bekerjasama dengan semua anak muda progresif ke arah isu ini," katanya.

Lihat Komen
ADS