Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ambiga, Dr Cyrus diberi lesen amalan ad-hoc
Diterbitkan:  Jul 6, 2015 5:35 PM
Dikemaskini: 9:43 AM

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini mengeluarkan lesen amalan secara ad-hoc kepada Datuk Dr Cyrus Das dan Datuk Ambiga Sreenevasan untuk bertindak sebagai peguam utama dan peguam bersama dalam perbicaraan Mahkamah Rayuan berhubung rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai cadangan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak.

Rayuan itu akan didengar di Mahkamah Rayuan di Petra Jaya pada 9 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Yew Jen Kie dalam penghakimannya hari ini berkata kes rayuan melibatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan itu mewajarkan lesen amalan ad-hoc dikeluarkan kepada dua pengamal undang-undang tersebut sehingga keputusan muktamad dibuat mengenai permohonan semakan penghakiman  berkenaan.

Bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kuching mengeluarkan perintah mandatori yang mengarahkan SPR menyiarkan semula notis lebih terperinci tentang cadangan itu untuk tatapan orang ramai.

Permohonan semakan penghakiman itu, yang difailkan ADUN Batu Lintang daripada PKR, See Chee How, dan Paul Baya daripada masyarakat Kayan, mencabar notis dan draf pelan kawasan pilihan raya yang disiarkan SPR pada Januari tahun ini, yang mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Presiden Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) Leonard Shim memberitahu mahkamah bahawa persatuan itu tidak membantah pengeluaran lesen amalan ad-hoc kepada dua pengamal undang-undang tersebut kerana kes berkenaan melibatkan persoalan undang-undang yang murni dan kompleks serta melibatkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya kes itu akan menjadi duluan bagi urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri lain dan persekutuan kerana ia melibatkan seluruh negara dan rakyat.

“Kes ini jarang berlaku serta luar biasa dan persatuan ini menganggapnya mempunyai kepentingan awam dan negara," kata beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas pendengaran kes tu, See berkata Dr Cyrus akan menjadi peguam utama, manakala Ambiga sebagai peguam bersama di samping dua peguam setempat termasuk beliau.

Ditanya tentang keperluan beliau mendapatkan khidmat Dr Cyrus dan Ambiga, beliau berkata:

"Kes ini melibatkan perlembagaan dan saya ingin berterus terang bahawa, sebenarnya, saya tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang undang-undang perlembagaan, jadi saya rasa, kehadiran Datuk Cyrus Das dan Datuk Ambiga sangat penting untuk membentangkan hujah kukuh dalam rayuan ini, memandangkan Datuk Ambiga juga terlibat dengan usaha melobi bagi mewujudkan pilihan raya bebas dan adil".

See berkata beliau juga sependapat dengan presiden persatuan itu, (Leonard Shim) bahawa keputusan kes ini bukan sahaja akan memberi kesan terhadap Sarawak, tetapi juga negeri lain.

"Ia adalah sebahagian daripada demokrasi parlimen dan sebab itulah pentingnya kes ini melibatkan penyertaan mereka yang paling mahir mengenainya," kata beliau.

Mengenai hujah Peguam Besar Negeri Sarawak bahawa Dr Cyrus dan Ambiga tidak perlu terlibat dengan kes itu atas alasan ia bukanlah kes yang sangat unik, See berkata kes itu sememangnya unik.

Katanya, pejabat Peguam Besar Negeri akan menghantar penasihat undang-undang negeri ke pendengaran kes itu sebagai rakan mahkamah, manakala Persatuan Peguambela Sarawak, Majlis Peguam Malaysia and BERSIH akan menjadi pemerhati.

Kes itu dibicarakan mengikut Seksyen 4 Notis Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, yang memerlukan notis tersebut diterbitkan dalam warta kerajaan dan dalam sekurang-kurangnya sebuah akhbar dengan menyatakan kesan daripada cadangan berkenaan, serta dibuka kepada pemeriksaaan orang ramai.

Ia juga memberi hak kepada orang ramai untuk mengemukakan hujah berhubung cadangan yang disyorkan dan wajib diberi pertimbangan oleh SPR.

- Bernama

Lihat Komen
ADS