Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti jangan balik kampung kerana berjimat?
Diterbitkan:  Jul 6, 2015 5:45 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menegur seorang penceramah motivasi yang mencadangkan agar pengguna tidak balik kampung pada hari raya untuk mengurangkan kesan GST.

Mohd Asri berkata, penceramah tersebut, Syed Abdul Aziz Al-Qubra sepatutnya melihat nilai kekeluargaan dan keinsanan yang mengikat warga untuk balik kampung saban tahun.

Penceramah itu juga tidak harus melihat nilai kebendaan semata-mata sehingga mengenepikan nilai kemanusiaan ini.

“Balik kampung bukan satu gaya hidup bagi rakyat negara ini tetapi ia adalah hubungan kekeluargaan khususnya antara anak dan ibu bapa.

“Apa erti wang ringgit tanpa hubungan insani ataupun keluarga? Apakah dalam usaha membela kenaikan harga dan tol disebabkan cara urus ekonomi yang kurang berjaya di peringkat atasan, kita ingin korbankan nilai-nilai kemanusiaan yang ada dalam hidup kita?

“Apakah kita sanggup mendengar kisah ibubapa kesedihan anak-anak tidak pulang berhari raya di kampung atas alasan 'tol mahal ibu'?

Syed Abdul Aziz dilaporkan membuat saranan itu dalam satu program bual bicara bertajuk 'Celik kewangan: Gaji oh gaji' yang disiarkan RTM, minggu lalu.

Dalam program tersebut, Syed Abdul Aziz berkata, pengguna boleh berjimat jika tidak pulang ke kampung kerana tidak perlu menyewa hotel.

“Kalau dah ramai mesti tidur hotel dah menjadi trend sekarang tidur di hotel apabila balik beraya… tak main tidur rumah mak bapak, sempitlah... sedangkan perbelanjaan bertambah,” katanya.

Menurutnya lagi, pengguna tidak harus menyalahkan GST tetapi perlu membuat perubahan sendiri.

Cadangannya itu menerima cemuhan pelbagai pihak di media sosial, sejak disiarkan pada hari Khamis lalu.

Lihat Komen
ADS