Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan pembelian hartanah Mara Inc Sdn Bhd di Melbourne, atas alasan bahawa ia adalah pembelian yang baik.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Shafie berkata sehingga Disember 2014, nilai semua hartanah itu telah meningkat.

Shafie mengedarkan nota yang mendakwa bahawa nilai empat hartanah - 21, Queen Street; 333, Exhibition  Street; Dudley International House dan 746, Swanston Street - telah meningkat.

Angka-angka itu menunjukkan bahawa pada keseluruhannya, MARA telah membuat keuntungan atas kertas kira-kira RM45 juta.

Menurut Shafie, penilaian dilakukan oleh Raine and Horne International.

Pihak berkuasa Australia sedang menyiasat pembelian ke atas Dudley International House atas alasan ia dibeli pada harga yang melambung dan sogokan telah diberikan kepada beberapa pegawai Malaysia.

Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Negara (NOW) telah mendakwa tiga hartanah lain telah dibeli pada harga yang tinggi.

Ketuanya Rafizi Ramli mengadakan sidang akhbar harian untuk mendedahkan maklumat yang menurutnya, perlu dijawab oleh MARA.

Enggan ulas dakwaan Rafizi

Shafie enggan mengulas mengenai mana-mana dakwaan yang dibangkitkan oleh Rafizi, atas alasan bahawa perkara itu masih dalam siasatan.

Beliau berkata, jika beliau menjawab sekarang, ia akan berdasarkan kepada tuduhan.

Itulah sebabnya, tegas beliau, pihaknya telah menghantar dokumen-dokumen perlu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai dua bukan pegawai MARA yang ada kaitan dengan Pemuda Umno yang didakwa mendapat keuntungan dengan pembelian 746 Swanston Street, Shafie berkata beliau tidak akan menjawab tuduhan liar.

Seorang daripadanya, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun, telah menuntut Rafizi memohon maaf kerana mendakwa beliau "di belakang tabir" berkaitan pembelian tersebut.

Mengenai penggantungan pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abdul Halim Abdul Rahim, Shafie berkata orang ramai tidak sepatutnya menganggap mereka bersalah.

"Kita tidak boleh menghukum mereka jika mereka tidak didapati bersalah," katanya sambil menambah bahawa selepas perbincangan, pihak merasa mereka perlu direhat sementara sehingga siasatan selesai.  [Baca berita penuh/asal]

'Ikut prosedur'

Sementara itu, Bernama melaporkan Shafie berkata pelaksanaan pembelian hartanah di Australia adalah mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk penilaian hartanah yang dibuat syarikat antarabangsa.

"Oleh itu Mara Inc tidak takut dan gentar dengan sebarang dakwaan dan akan beri segala maklumat yang diperlukan oleh pihak yang menyiasat. Yang saya faham (perjalanan) urusniaga itu adalah ikut peraturan.

"Pihak Mara Inc akan beri maklumat kepada pihak berkuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Mohd Shafie berkata hartanah 746 Swanson Street dengan penilaian semasa AUD43 juta (RM123 juta) telah dibeli MARA Inc pada 28 Ogos 2012 pada harga

AUD41.8 juta (RM119.72  juta) dan bernilai AUD47 juta (RM134.62 juta) berdasarkan penilaian pada Disember 2014.

Hartanah Dudley International House dengan penilaian semasa AUD26 juta (RM74.46 juta) pula dibeli dengan harga AUD22.6 juta (RM64.72 juta) pada 25 Februari 2013 dan  bernilai AUD$27.95 juta (RM80.04 juta) pada Disember 2014, katanya.

"Hartanah di 21 Queen Street dengan nilai semasa AUD23 juta (RM65.86 juta) semasa pembelian dibeli dengan harga AUD21.3 juta (RM60.99 juta) pada 29 Mac 2013 dan bernilai  AUD$24.1 juta (RM69.01 juta) pada Disember 2014.

"Manakala hartanah di 333 Exhibition  Street dengan nilai semasa AUD33 juta (RM94.49 juta) dibeli dengan harga AUD31 juta  (RM88.97 juta) pada 29 Mac 2013 dan bernilai AUD34.2 juta (RM97.93 juta) pada Disember  2014," katanya.

Katanya Mara Inc akan menunggu sehingga siasatan SPRM berhubung pembelian hartanah  di Australia selesai sebelum mengambil tindakan lanjut kerana Mara Inc tidak boleh bertindak berdasarkan dakwaan semata-mata.

"Pada masa ini semua kenyataan adalah berdasarkan dakwaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MARA Tan Sri Annuar Musa yang turut hadir pada majlis itu ketika ditanya mengenai pertemuannya dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata ia merupakan pertemuan biasa.

  

Lihat Komen
ADS