Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun telah mengisytiharkan Pakatan Rakyat telah terkubur, DAP tidak menolak kemungkinan bersatu kembali dengan PAS pada masa depan.

Ditanya tentang kemungkinan pembentukan gabungan pembangkang buat kali keempat dalam pilihan raya umum akan datang, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata ia mungkin berlaku.

DAP bagaimanapun menuntut komitmen PAS terlebih dahulu terhadap dasar bersama Pakatan.

“Jika PAS tidak bersedia untuk ini, saya tidak rasa mereka akan terlibat sama,” kata Lim dalam wawancara dengan Malaysiakini pada Khamis.

Sejarah kerjasama kedua-dua parti telah bermula sejak 80-an melalui Gagasan Rakyat dan pada 90-an melalui Barisan Alternatif.

Pada 2008, bersama PKR, mereka membentuk Pakatan Rakyat.

Tidak seperti kerjasama sebelum ini, Pakatan pada Disember 2009 membentuk dasar bersama yang ditandatangani oleh Lim, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bagaimanapun cubaan melaksanakan hudud di Kelantan sentiasa menjadi duri dalam daging bagi PKR dan DAP yang mendorong ke arah perang terbuka kedua-dua pihak.

Kemuncaknya dalam muktamar PAS lalu, parti Islam itu membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP, yang kemudian membawa kepada pengisytiharan terkuburnya Pakatan oleh DAP.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS