Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan bahawa perintah pembekuan yang dikeluarkan pada 6 Julai tidak melibatkan mana-mana akaun yang dikatakan dipunyai oleh Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan, beliau "menekankan kebimbangan" berhubung pembocoran dokumen berkaitan dengan suatu siasatan jenayah yang sedang dijalankan, dan meminta supaya siasatan penuh dibuat dalam perkara itu.

Abdul Gani mengambil maklum bahawa dokumen yang didedahkan dalm artikel Wall Street Journal bertajuk "Malaysia Orders Freeze of Accounts Tied to Probe of Alleged Transfers to Prime Minister Najib" bertarikh 7 Julai merupakan hal perkara suatu siasatan.

Peguam Negara berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana orang yang didapati telah membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan itu kerana ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

"Adalah juga menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan untuk mana-mana orang menzahirkan sebarang maklumat atau perkara yang telah diperolehinya pada melaksanakan tugasnya atau menjalankan fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan untuk mana-mana orang yang mempunyai apa-apa maklumat atau perkara yang dia tahu telah dizahirkan dengan melanggar undang-undang untuk selanjutnya menzahirkan maklumat atau perkara itu kepada mana-mana orang lain," katanya.

Abdul Gani menegaskan "ini bukan persoalan 'whistle-blowing' kerana perkara yang berkenaan sudah dalam siasatan".

"Suatu lagi isu yang membimbangkan adalah bahawa dokumen itu dikatakan telah dibocorkan dari dalam siasatan itu sendiri," katanya.

Katanya berkata kebimbangan berhubung kebocoran itu turut "disokong" oleh Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Abdul Gani turut menyatakan kebimbangannya tentang "sindiran dan dakwaan" yang mengaitkan beliau dengan agenda politik.

"Tujuan Pasukan Petugas Khas antara agensi itu ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini adalah untuk memastikan bahawa tidak timbul sebarang salah guna mekanisme siasatan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS