Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PKR mungkin menghadapi laluan sukar untuk memfailkan saman bagi membatalkan kemenangan kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum lalu susulan laporan dana 1MDB digunakan untuk kempen pilihan raya.

Peguam kanan dan juga bekas hakim mahkamah rayuan Christopher Leong ( gambar ) berpendapat, ini kerana sebarang saman yang ingin difailkan pada waktu ini terlalu awal.

"Kebanyakan maklumat yang ada pada masa ini adalah mengenai dakwaan tidak wajar atau pembiayaan pilihan raya atau penggunaan dana.

"Dokumen yang selama ini memberi gambaran (berlakunya pembiayaan dana untuk pilihan raya) tidak lengkap dan saya ingin mengatakan ia sesuatu yang tidak meyakinkan," kata bekas pengerusi Majlis Peguam Malaysia itu kepada Malaysiakini .

Minggu lalu, The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan sejumlah wang bernilai AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum pilihan raya umum 2013.

Berikutan laporan itu, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar semalam berkata, PKR akan memfailkan saman sivil untuk membatalkan kemenangan di kerusi BN pada pilihan raya umum lalu.

Menurut naib presiden PKR itu, saman tersebut akan difailkan secepat mungkin.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS