Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Mohd Nasaie Ismail ditangkap polis kira-kira jam 2.15 pagi tadi di rumahnya di Shah Alam.

Beliau dikatakan tidak hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Selasa lalu bagi perbicaraan kes bantahan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di pejabat kastam di Kelana Jaya sebelum ini.

Beliau memberitahu ditangkap oleh empat orang anggota polis dan dibawa ke Balai Polis Kelana Jaya sebelum dihantar ke lokap Balai Polis Sea Park Petaling Jaya.

Bagaimanapun beliau kemudian dilepaskan pada jam 10.30 pagi hari ini selepas pihak hakim membatalkan waran tangkap terhadapnya kerana beliau sebenarnya hadir ke mahkamah pada 7 Julai lalu, tetapi kehadirannya tidak dicatatkan.

"Sebenarnya saya hadir tetapi kehadiran tidak dicatatkan. Tertuduh ramai iaitu sebanyak 79 orang, memang penuh mahkamah itu. Jadi macam mana mereka nak pasti siapa yang hadir dan yang tak hadir. Sebab kes itu terlalu ramai dituduh.

"Hakim kemudian batalkan waran," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Nasaie bagaimanapun mempersoalkan penangkapannya yang dibuat pada awal pagi hari ini sedangkan waran tangkap dikeluarkan pada Selasa lagi.

Malah, beliau memberitahu, penangkapannya itu juga tidak dimaklumkan terlebih dahulu kepada peguamnya.

"Waran tangkap dikeluarkan pada 7 Julai, tetapi kenapa hari ini baru diambil? Pagi-pagi buta pula tu. Kemudian pegawai penyiasat tidak memaklumkan kepada peguam mengenai tangkapan ini," katanya lagi.

Selain itu, Nasaie memberitahu, kes tersebut masih lagi ditangguhkan buat kali ketiga kerana diminta oleh pihak pendakwaan.

"Sebutan sudah tiga kali ditangguhkan. Kes ini belum berjalan sebab pendakwa mohon tangguh tiga kali," katanya lagi.

Pada Mac lalu, seramai 79 orang ditahan polis ekoran bantahan GST yang diadakan di pejabat Kastam Kuala Lumpur, di Kelana Jaya.

Antara yang ditahan termasuk pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),  Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Pada hari kejadian , seramai kira-kira 100 aktivis masuk ke pejabat Kastam dengan 106 soalan berhubung polisi cukai baru itu, dan menuntut ia dimansuhkan atau ditangguh jika pihak berkuasa itu gagal menjawabnya.

Lihat Komen
ADS