Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas mengadakan protes di Putrajaya semalam , kumpulan mahasiswa hari ini mengadakan bantahan sama di hadapan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Kira-kira 30 orang mahasiswa daripada Gerakan Mahasiswa Selamatkan Malaysia berkumpul dalam kesibukan orang ramai untuk menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab dakwaan The Wall Street Journal (WSJ).

Selain berucap, mereka juga mengumpulkan tanda tangan daripada orang ramai bagi menunjukkan sokongan untuk mendesak Najib meletakkan jawatan.

Kumpulan mahasiswa itu turut membawa kain rentang bertulis "Mahasiswa tuntut #Najibundur" dan plakad bertulis "Kami sayang negara" serta "Selamatkan negara".

Protes itu turut diwarnai laungan "Hidup mahasiswa" dan "Undur Najib".

Bagaimanapun, seorang lelaki bertopi, berbaju merah dan berseluar pendek menghampiri kumpulan tersebut dan mempersoalkan tindakan mereka menggesa Najib berundur.

Lelaki tersebut mempersoalkan, jika Najib tidak menjadi perdana menteri siapakah individu yang layak memegang jawatan itu.

"Kamu buat ni tak betul. Kalau kamu suruh Najib berundur, kamu rasa siapa yang layak jadi perdana menteri?" kata lelaki tersebut.

Bagaimanapun tiada sebarang pergelutan berlaku dan lelaki berkenaan kemudian beredar selepas bercakap kira-kira dua minit.

Perhimpunan itu berlangsung selama sejam - bermula kira-kira jam 2.30 petang - memang menarik perhatian pengunjung yang membeli-belah di Sogo, malah sebahagian daripada mereka meluangkan masa mendengar ucapan kumpulan berkenaan.

Tuntut kembalikan mandat

Beberapa anggota polis berkawal sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

Ketika berucap, Pengerusi Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara Lukman Nul Haqim Zul Razali ( gambar ) berkata, mereka menggesa Najib memberi penjelasan berhubung dakwaan WSJ yang mengatakan sejumlah wang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Jika Najib tidak berbuat demikian, Lukman berkata pihaknya menggesa ahli parlimen Pekan itu meletakkan jawatan dan membubar Parlimen.

"Kita minta Datuk Seri Najib jawab tiga tuntutan kami. Kalau gagal, bubar parlimen dan serah mandat kepada rakyat kembali," katanya.

Minggu lalu, WSJ dan Sarawak Report melaporkan sebanyak AS$700 bilion dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada 2013.

Bagaimanapun, Najib menafikan laporan itu dan  telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Lihat Komen
ADS